KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 11,860 atau 95.19 peratus daripada 12,459 aduan berkaitan jalan rosak di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi menerusi aplikasi MyJalan, berjaya diselesaikan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata baki 599 atau 4.81 peratus aduan masih dalam siasatan dan tindakan KKR.
Beliau berkata secara keseluruhan bagi tempoh dua tahun sejak aplikasi tersebut dilancarkan pada Ogos 2023, sebanyak 54,330 pengguna telah berdaftar dengan 40,938 aduan direkodkan.
“Daripada jumlah keseluruhan aduan itu, 28,479 (69.57 peratus) yang kita sebutkan sebagai No Wrong Door Policy iaitu pemilik jalan tersebut seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan negeri yang melibatkan jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian, jalan negeri dan jalan persendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata berdasarkan data bancian lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan di Lebuhraya Timur-Barat masih mampu menampung trafik sedia ada.
Bagaimanapun beliau berkata terdapat keperluan pembaikan dan penaiktarafan, sehubungan itu projek pembaikan struktur turapan jalan di lebuh raya tersebut dengan kos sebanyak RM100 juta sedang dilaksanakan.
Beliau berkata skop projek tersebut merangkumi kajian awal dan ukur tanah, penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat, penyelenggaraan berkala pavement serta bukan pavement dan kesemuanya dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Selain itu, Nanta berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga melaksanakan Building Information Modelling (BIM) dalam kitaran hayat projek lebuh raya bagi menyokong agenda transformasi digital negara di samping memastikan infrastruktur lebuh raya yang lebih pintar, selamat dan mampan selaras dengan RMK13 dan Dasar Pembinaan Negara 2030.
“Komitmen ini diperkukuhkan lagi dengan pengenalan polisi BIM di LLM yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2023, ia mengintegrasikan penggunaan BIM dari fasa perancangan, pembinaan, operasi, penyenggaraan dan naik taraf lebuh raya.
“Beberapa lebuh raya bertol menjadi projek perintis, dengan sasaran Level of Development (LOD) yang ditetapkan antaranya Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Projek Pelebaran Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Projek Tebatan Banjir Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Jambatan Sungai Perak dan beberapa kawasan rehat terpilih di Lebuhraya Utara Selatan,” katanya.
Nanta berkata beberapa projek lain dalam peringkat perancangan juga telah mengambil kira keperluan ke arah pelaksanaan BIM, seperti Cadangan Projek Lebuhraya WISE (West Ipoh Span Expressway), Projek Pelebaran Lebuhraya SILK Fasa 3 dan Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua di Lebuhraya Utara Selatan.
Beliau berkata pelan strategik yang komprehensif juga telah dirangka dengan pembangunan Garis Panduan BIM Infra dan jalinan kerjasama strategik dengan agensi utama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta institusi-institusi akademik.
“Sehingga kini LLM telah mula melatih pegawai berkelayakan bagi BIM manager, BIM coordinator dan BIM modeller,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial