PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu bergerak ke arah lebih praktikal dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa yang menghubungkan secara terus institusi dengan keperluan sebenar industri dan komuniti.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan berkata perkara itu disuarakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Mesyuarat Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) dan Sesi Dialog bersama Menteri Pendidikan Tinggi anjurannya di sini hari ini.
JPPKK berkata majlis berkenaan adalah wadah strategik jabatan bersama pihak industri dalam memastikan program akademik, latihan kemahiran dan pembangunan bakat graduan POLYCC sentiasa relevan.
"Ia selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa dan seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan modal insan berdaya saing, inklusif dan berteraskan nilai,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Mesyuarat itu menghimpunkan sembilan kluster industri utama termasuk pembuatan; logistik; pertanian; digitalisasi; kejuruteraan petrokimia; elektrik dan elektronik; pelancongan dan hospitaliti; alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat; serta badan akreditasi.
Sesuai dengan tema MPIP tahun ini 'POLYCC-Industri: Menjana Tenaga Kerja Pintar untuk Ekonomi MADANI’, JPPKK berkata penganjuran program itu adalah sejajar dengan fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara.
“Pelbagai perkara telah dibawa ketika sesi dialog ini berlangsung, antaranya isu dan cabaran kebolehpasaran graduan serta inisiatif dalam memperkukuh kerjasama antara JPPKK dan MPIP menerusi Resolusi Industri: MPIP 2025,” menurut kenyataan itu.
Pada majlis sama, mantan Pengerusi MPIP Tan Sri Sufri Mohamad Zain turut menerima pengiktirafan sebagai Ikon Work-Based Learning (WBL) POLYCC 2024, manakala UEM Edgenta Berhad dan Global Rail Sdn Bhd diumumkan penerima anugerah 'Outstanding Industry Mentorship'.
Turut diadakan adalah penyampaian watikah pelantikan kepada tiga orang ahli Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) dan pelancaran dua buah buku berkenaan kisah kejayaan kolaborasi WBL antara politeknik dan rakan industri, termasuk kerjasama bersama PKT Logistics sejak 2012.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial