KANGAR, 19 Ogos (Bernama) -- Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 pada tahun ini membuka tirai hari ini di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, menampilkan acara tambahan, iaitu lari berganti-ganti campuran yang menggabungkan atlet lelaki dan perempuan dalam satu pasukan.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata kejohanan yang berlangsung hingga 23 Ogos itu melibatkan penyertaan kira-kira 1,400 murid dan pelajar dari seluruh negara dengan 120 pingat emas dipertandingkan melibatkan tiga kategori.
"Tiga kategori itu ialah kategori bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun. Pengenalan acara lari berganti-ganti campuran memberikan dimensi baharu dalam MSSM sekali gus memperkasakan bakat murid dalam sukan olahraga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu di stadium berkenaan malam tadi.
Zainal berkata acara olahraga adalah antara sukan terbesar dalam MSSM yang menghimpunkan penyertaan paling banyak dan sepanjang penganjurannya telah melahirkan atlet berbakat antaranya jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan.
"Kejohanan itu bukan sahaja medan persaingan tetapi turut membentuk disiplin, semangat kesukanan serta nilai murni dalam kalangan murid selain menjadi asas pembangunan sukan negara," katanya.
Sementara itu, Zainal berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan 38 pingat emas dalam 10 acara termasuk dua acara baharu, iaitu memanah dan sepak takraw pada penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-10 yang dijadualkan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor pada 1 hingga 7 Sept depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial