AM

Lebuhraya PLUS, LPT2 Sedia 112 Pusat Pengecasan EV

18/08/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperluas usaha mobiliti rendah karbon dengan menyediakan 112 pusat pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang beroperasi di lebuh raya kendaliannya setakat 30 Jun lepas.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar dalam kenyataan berkata jumlah itu telah pun melepasi sasaran awal sebanyak 100 pusat pengecasan menjelang akhir tahun ini, sekali gus menyumbang kepada sasaran nasional 1,000 pengecas pantas menjelang 2025 di bawah Rancangan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030).

“Pusat pengecasan EV ini ditempatkan secara strategik di beberapa Hentian Rehat dan Rawat (R&R), kawasan rehat (lay-by) serta premis stesen minyak terpilih di sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), bagi memastikan capaian yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.

Nik Airina berkata kadar penggunaan purata pengecas EV di lebuh raya PLUS menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan tahun ini, selaras dengan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh negara.

Beliau berkata PLUS menyasarkan pelancaran Hab EV Lebuhraya pertama negara di R&R Seremban (Arah Selatan) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027, selain merancang untuk menambah 350 pusat pengecasan EV menjelang 2028.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS Mohd Fauzi Puniran berkata pusat pengecasan di rangkaian PLUS dan LPT2 merupakan Pengecas Pantas Arus Terus (DCFC) yang direka untuk menyokong perjalanan jarak jauh dengan tempoh pengecasan lebih singkat.

“Pengecas ini menawarkan kuasa output antara 47 kW hingga 200 kW, membolehkan kenderaan mencapai tahap pengecasan sehingga 80 peratus dalam tempoh 15 hingga 30 minit bergantung kepada spesifikasi serta tahap bateri. Setiap pusat pengecasan turut dilengkapi penyambung universal CCS2 yang serasi dengan kebanyakan jenama EV utama di pasaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan