AM

Kes Zara Qairina: Siasatan Tumpu Elemen Buli, Pengabaian Dan Gangguan Seksual - Saifuddin Nasution

18/08/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir menjurus kepada tiga elemen utama iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.

“Saya tidak menolak, berdasarkan kesimpulan siasatan, memang wujud elemen buli. Justeru, tiada sebarang usaha atau percubaan menutup perkara ini boleh diterima kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Pentadbir sekolah juga perlu diingatkan agar setiap insiden dibawa ke perhatian pihak berwajib.

“Selain itu, terdapat elemen pengabaian kerana arwah pernah membuat aduan kepada pihak sekolah, dan perkara ini turut disiasat. Begitu juga dengan elemen gangguan seksual yang sedang diteliti,” katanya pada sesi penerangan menteri selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kini terpulang kepada AGC untuk menentukan hala tuju seterusnya, sama ada melakukan pertuduhan atau sebaliknya, selain memastikan prosiding inkues dilaksanakan sebagai platform terbaik untuk semua pihak membentangkan bukti secara telus dan terbuka.

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menetapkan 3 Sept untuk memulakan prosiding siasatan kematian Zara Qairina. 

Koroner Azreena Aziz menetapkan prosiding itu berlangsung mulai 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas sehari dimasukkan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata siasatan turut menemukan diari milik Zara Qairina yang diserahkan guru kepada polis. Diari itu mengandungi 51 halaman catatan peribadi yang mencerminkan luahan hati dan masalah yang dihadapinya.

Selain itu, beliau berkata pihak polis turut mengambil keterangan daripada rakan asrama yang tinggal bersama mangsa bagi membantu mengenal pasti  kejadian yang berlaku, khususnya pada 14 dan 15 Julai.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata siasatan kes itu turut diperluas merangkumi tindakan terhadap pihak yang cuba memanipulasi isu tersebut sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Setakat ini, 21 kertas siasatan telah dibuka, termasuk kes penyebaran berita palsu di media sosial serta penipuan yang mendorong penganjuran himpunan jalanan.

Saifuddin Nasution menegaskan, kerajaan memahami mesej yang ingin disampaikan melalui himpunan, tetapi siasatan mesti dijalankan secara profesional dan berasaskan bukti serta lunas undang-undang.

Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara bertamadun berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan tidak boleh bertindak berdasarkan andaian, khabar angin atau tekanan politik. Semua pihak dinasihatkan berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang belum disahkan kebenarannya.

“Keadilan dan kebenaran tidak boleh berasaskan fakta separuh masak atau tuduhan rambang yang tidak bertanggungjawab. Semua tindakan mesti berpandukan fakta dan proses undang-undang yang sah. Sebarang spekulasi atau sentimen politik adalah ditolak,” kata beliau.

Saifuddin Nasution menambah, seorang guru Bahasa Inggeris ditahan kerana memuat naik kandungan TikTok mendakwa Zara Qairina dibunuh dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh. Guru itu mengakui ia hanyalah untuk membuat kandungan. “Kita tangkap dan, insya-Allah, jika Peguam Negara bersetuju, akan didakwa,” tegasnya.

Beliau berkata kandungan tersebut telah diterima bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat sehingga mencetuskan gelombang sentimen berlebihan.

Justeru, beliau menegaskan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan tidak seharusnya berasaskan kepada sentimen dan emosi semata-mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan