KOTA BHARU, 18 Ogos -- Kerajaan Kelantan berhasrat memperkasakan inisiatif Satu Kampung Satu Industri dengan memberi tumpuan kepada pembangunan potensi setiap kampung bagi menghasilkan produk tempatan yang berdaya saing di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat, malah mampu melahirkan lebih ramai usahawan termasuk di luar bandar.
"Di Thailand, inisiatif satu kampung satu industri ini sangat terkenal. Jadi, kita di sini pun ada peluang untuk melaksanakan inisiatif yang dilihat sangat berpotensi dan bagus. Kita kena menghidupkan semula inisiatif ini sebab sebelum ini kita telah laksanakan, namun ia terhenti.
"Sebagai contoh, di Kampung Laut, Tumpat yang terkenal dengan produk berasaskan serunding. Oleh itu, inisiatif ini boleh diperluaskan lagi ke kampung lain dengan produk industri berbeza memandangkan negeri ini terkenal dengan produk makanan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Thailand-Malaysia Trade Partnership Forum 2025', di sini hari ini, yang turut dihadiri Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Mr Phasit Chudabuddhi.
Mengulas lanjut, Md Anizam berkata Kelantan komited memperkukuh hubungan perdagangan dengan Thailand melalui sektor pelancongan dan perdagangan di kawasan sempadan.
“Kita sedang mengenal pasti produk berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran Thailand dan sebaliknya. Contohnya, batik Kelantan yang berbeza motif dengan batik Thailand, selain makanan tempatan yang tiada di negara itu.
“Namun dalam memperkukuh perdagangan dua hala ini, isu keselamatan, penyeludupan serta kawalan kastam dan imigresen perlu diberi perhatian agar urusan lebih lancar tanpa mengabaikan aspek penguatkuasaan,” katanya.
Beliau menambah, forum tersebut bukan sahaja menjadi platform membincangkan potensi pemasaran produk tempatan, malah turut menekankan isu penyeludupan yang semakin meruncing di sempadan negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial