KANGAR, 17 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis komited untuk terus memperkasakan wanita luar bandar, terutamanya usahawan bimbingan jabatan itu.
Pengarahnya Mohamad Zaki Ismail berkata golongan itu akan terus dibantu menguasai bidang perniagaan bertepatan dengan pelaksanaan program Wanita Inspirasiku bertemakan “Wanita Desa Ke Global”.
“Menjadi harapan kami, agar wanita luar bandar khususnya usahawan bimbingan KEMAS dapat meningkatkan pendapatan keluarga dan pada masa sama memperluas pasaran produk sehingga peringkat global,” katanya.
Mohd Zaki berkata demikian ketika berucap pada Program Santunan Desa KEMAS peringkat negeri di sini hari ini, yang dirasmikan Pengerusi Komuniti KEMAS Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman.
Selain itu, beliau berkata KEMAS Perlis menganjurkan Kursus Bimbingan Usahawan Quick-Win dalam bidang seperti jahitan, masakan dan seni tangan, dengan 30 individu dipilih dalam kalangan peserta kelas kemahiran tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata objektif utama penganjuran Program Santunan Desa KEMAS adalah untuk membina masyarakat luar bandar berilmu, berdaya tahan dan sejahtera serta merapatkan hubungan antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.
“Program ini juga sebahagian daripada usaha menyokong Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) digerakkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memastikan pembangunan desa lebih seimbang dan memberi peluang ekonomi kepada semua golongan,” katanya.
Program dua hari bermula semalam, melibatkan pelbagai pengisian termasuk gerai jualan usahawan KEMAS, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan, pertandingan sukan elektronik dan gotong-royong kenduri kampung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial