MUKAH, 17 Ogos (Bernama) -- Safari Memancing Tanjung Manis akan dimasukkan secara rasmi dalam kalendar pelancongan Sarawak bermula tahun hadapan, bagi menjadikannya antara tarikan utama negeri sekali gus menarik penyertaan pemancing antarabangsa.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu, selaras dengan usaha memperkukuh peranan Tanjung Manis dalam gelombang kedua pembangunan ekonomi negeri.
“Pengiktirafan pada peringkat negeri akan membolehkan perancangan lebih tersusun dan pada masa sama memberi peluang kepada peserta antarabangsa membuat persediaan lebih awal,” katanya berucap pada Majlis Penangguhan Safari Memancing Tanjung Manis di Terminal Ekspres Tanjung Manis, hari ini.
Abang Johari berkata aktiviti seperti memancing, golf dan maraton, berpotensi membantu meletakkan Tanjung Manis di peta dunia.
Beliau berkata kerajaan negeri telah melabur RM70 juta bagi pembinaan tukun tiruan dari Telok Melano hingga Lawas untuk merangsang pembiakan ikan dan melindungi perairan tempatan daripada pencerobohan bot pukat tunda asing.
Abang Johari berkata sumber marin juga perlu dilindungi dengan penguatkuasaan lebih tegas serta sokongan tambahan daripada Pasukan Pengawal Pantai Sarawak.
Beliau berkata Tanjung Manis akan menjadi antara tumpuan utama pembangunan negeri dalam gelombang kedua, dengan menggabungkan aspek sekuriti makanan, pelancongan dan ekonomi karbon.
Antara perancangannya termasuklah memperbesar lapangan terbang tempatan bagi menerima pesawat lebih besar, membangunkan Belawai sebagai destinasi pelancongan pesisir lengkap dengan hotel, inap desa dan padang golf, serta memperkukuh segmen ekopelancongan.
Abang Johari berkata bermula tahun depan, syarikat penerbangan milik Sarawak iaitu AirBorneo, akan memulakan penerbangan membawa pelancong dari Korea dan Jepun, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan melalui pelancongan makanan, budaya dan alam semula jadi.
Seramai 146 pemancing menyertai safari berkenaan, yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu laut dalam dan pesisir pantai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial