AM

600 Pegawai, Anggota Polis Kawal Keselamatan Program RXZ Members 7.0 Minggu Depan

17/08/2025 02:36 PM

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal aliran trafik dan menjaga keselamatan awam sepanjang penganjuran program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus pada 22 dan 23 Ogos ini.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin berkata jumlah peserta program pada tahun ini dijangka bertambah hampir sekali ganda iaitu melebihi 100,000 orang berbanding 60,000 orang pada tahun lepas.

Beliau berkata anggota dan pegawai terlibat akan ditempatkan di lokasi terpilih di seluruh negeri bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang akan menganggu aktiviti harian orang ramai.

"Sebanyak 600 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan di lokasi terpilih, bukan hanya di Kuala Terengganu tetapi di semua daerah termasuk Besut, Marang, Dungun, Setiu dan Kemaman.

"Bagi memastikan keselamatan, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) akan bertugas membuat rondaan di kawasan penginapan dan rumah inap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor.

Mohd Khairi berkata tahun lepas tiga kes kemalangan maut melibatkan peserta RXZ Members 6.0 direkodkan manakala 89 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, terdapat juga tiga kes penipuan melibatkan rumah inap tidak wujud dengan jumlah kerugian RM1,400.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua peserta RXZ Members 7.0 mematuhi peraturan jalan raya dan tidak membuat bising di tempat awam hingga boleh mengganggu ketenteraman.

"Kepada peserta himpunan jangan bawa barang terlarang kerana pihak polis sentiasa memantau aktiviti yang mencurigakan...pastikan juga penginapan yang ditempah benar-benar wujud bagi mengelak menjadi mangsa penipuan rumah inap palsu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan