IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Pembangunan Ipoh Sentral bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di tengah-tengah bandar raya Ipoh, mencerminkan kemajuan yang berpaksikan wawasan jangka panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata projek berskala besar yang dibangunkan sepenuhnya melalui inisiatif swasta hasil kolaborasi strategik antara Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM6.25 bilion.
Perdana Menteri berkata dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral petang tadi, beliau menyatakan hasrat agar Ipoh Sentral dapat menjadi contoh terbaik pembangunan berteraskan nilai-nilai MADANI.
"Kita tidak mahu lagi pembangunan fizikal yang megah tetapi kosong daripada jiwa budaya. Sebaliknya, setiap pembangunan mesti membawa roh kemanusiaan yang menjunjung prinsip ihsan, hormat, kelestarian dan maruah bangsa.
"Untuk merealisasikan hasrat ini, ia memerlukan sinergi dan kerjasama erat antara pemaju, pihak berkuasa bandar raya, serta kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain yang relevan," kata Anwar dalam hantaran Facebook malam ini.
Justeru, beliau berharap supaya pembangunan itu membuka pintu peluang baharu, menyemai keyakinan warga dan memperkukuh identiti Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang hidup, inklusif dan berdaya saing.
Projek Pembangunan Ipoh Sentral yang berlandaskan Agenda Pengangkutan Hijau Bandar Pintar Perak 2030 dirancang untuk mengubah Ipoh menjadi hab pengangkutan yang moden, mampan dan keterhubungan baik, selain memelihara warisan budaya bandar serta memperkukuh ikatan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial