AM

Konvoi KMJG 2025 Selesai Jelajah Tiga Parlimen Di Ibu Negara

16/08/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) berjaya menamatkan ekspedisi menjelajah ke tiga kawasan Parlimen di ibu negara hari ini, dengan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) WPKLP Lt Kol Bersekutu (PA) Sabarudin Yeop Hamzah berkata perjalanan konvoi dari Wangsa Maju ke Cheras dan Lembah Pantai mendapat respons positif orang ramai yang bukan sahaja hadir memberi sokongan, malah menerima Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik.

“Sejak pagi hingga petang ini kita lihat sambutan masyarakat sangat menggalakkan. Ini menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya ada kesedaran, cuma kempen (berkaitan) perlu dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita di lokasi persinggahan terakhir konvoi di McDonald's Pantai Sentral Park, Lembah Pantai di sini.

Beliau berkata kira-kira 3,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz diedarkan sepanjang konvoi termasuk kepada orang ramai yang singgah secara pandu lalu di restoran makanan segera itu, untuk menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Sabarudin berkata kejayaan konvoi itu hasil kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti MADANI yang bersatu membawa mesej perpaduan.

“Dengan kejayaan konvoi hari ini, kerjasama seperti ini patut diteruskan pada masa hadapan. Kalau begini gerak kerja kita, saya yakin kempen pada masa hadapan akan lebih berkesan dan memberi impak lebih baik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut gembira dengan reaksi positif orang ramai menerusi riak wajah mereka yang teruja menyambut ketibaan konvoi dan memberi maklum balas baik terhadap usaha menyemarakkan semangat patriotisme.

Konvoi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 14 Ogos, Sabarudin menerima Jalur Gemilang KMJG 2025 daripada Pengarah JAPEN Pahang Rohani Chik sejurus selesai KMJG 2025 peringkat negeri itu yang merentasi lima daerah dalam tempoh tiga hari. 

Pada 27 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor sebelum melepaskan Konvoi KMJG 2025 yang menjelajah seluruh negara. 

Konvoi itu akan melalui 88 hentian iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) serta Wilayah Persekutuan Labuan (dua).

KMJG 2025 dijadual berakhir pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” manakala sambutan Hari Malaysia akan diadakan di Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan