SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor bersetuju meningkatkan jumlah insentif kemenangan kepada atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 negeri sebanyak RM2,000, jika berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tambahan itu, disandarkan kepada jumlah pemberian insentif kepada atlet negeri yang berjaya menyumbangkan pingat emas pada penganjuran SUKMA ke-21 di Sarawak tahun lepas.
Peningkatan itu menjadikan jumlah insentif bagi atlet individu kepada RM12,000, manakala RM7,000 seorang kepada atlet bagi acara berpasukan di bawah tiga orang dan RM5,000 bagi sukan melebihi tiga pemain.
“Bagaimanapun jumlah ini masih boleh naik (ditambah). Kita ada setahun dari sekarang saya akan ikut dan dapatkan analisa daripada pihak jurulatih, Majlis Sukan Negeri dan sebagainya.
“Kalau ada peningkatan yang signifikan semasa kita menuju ke SUKMA, insya-Allah kita akan naikkan (jumlah insentif) dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Road To Champion Sukma 2026 dan Pelantikan Program Bapa Angkat SUKMA di sini hari ini.
Tahun lepas, Amirudin mengumumkan kerajaan Selangor menawarkan insentif kemenangan RM10,000 kepada atlet individu merangkul pingat emas pada SUKMA ke-21, selain RM5,000 seorang bagi acara berpasukan dengan lima pemain ke bawah dan RM3,000 seorang bagi lima pemain ke atas.
Pada majlis hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Abbas Salimi Che Adzmi@Azmi dilantik Ketua Kontinjen Selangor bagi SUKMA 2026, manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Datuk Johary Anuar sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.
Pada temasya SUKMA 2024 ke-21, Selangor menduduki tempat ketiga dengan kutipan pingat 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa, manakala tuan rumah Sarawak muncul juara keseluruhan dengan kutipan 76-55-70 manakala Wilayah Persekutuan naib juara (75-65-72).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial