AM

Pemberian HPA, Kesinambungan APEL.Q Dorong Penjawat Awam Tingkat Ilmu Dan Kelayakan

15/08/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) dan kesinambungan Program APEL.Q @ INTAN diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini,  dapat mendorong penjawat awam untuk terus menambah ilmu pengetahuan.

Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Prof Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata inisiatif berkenaan sekali gus memberi peluang kepada mereka meningkatkan kelayakan dalam perkhidmatan masing-masing.

“Apabila ada dalam kalangan Ketua Setiausaha mempunyai gelaran Dr kerana menamatkan Ijazah Kedoktoran (PhD), orang nampak reputasi dan kredibiliti (mereka) bukan sahaja dalam negara tetapi luar negara (juga) melihat penjawat awam Malaysia berkualiti tinggi.

“Ini akan membantu menaikkan imej negara,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV menerusi talian Zoom hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) mengumumkan kesinambungan Program APEL.Q @ INTAN bagi 2026 dengan peruntukan RM1.5 juta, yang memberi bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000 bergantung pada mana-mana terendah.

HPA pula merupakan insentif kewangan kepada pegawai awam yang menamatkan pengajian lebih tinggi menggunakan perbelanjaan sendiri, merangkumi RM1,250 untuk ijazah kedoktoran, ijazah sarjana (RM1,000), ijazah sarjana muda (RM750) dan diploma atau setaraf (RM500).

Khairul Salleh juga berkata APEL.Q memberikan fleksibiliti kepada penjawat awam memandangkan program itu mengambil kira pengalaman pembelajaran terdahulu tanpa perlu mengikuti keseluruhan pengajian.

Mengenai strategi untuk mengenal pasti bakat penjawat awam dan memastikan kesinambungan kepimpinan dalam sesebuah organisasi, beliau berkata pusingan kerja perlu dilakukan untuk memberi peluang kepada petugas menggilap bakat dalam bahagian tertentu.

“Kita perlu membuat penggiliran tugas supaya bakat-bakat yang masuk, mereka boleh melaksanakan tugas dengan baik dalam bidang kepakaran atau minat mereka.

“Jika kita tidak mendedahkan mereka melalui penggiliran tugas maka mungkin kita menafikan peluang (dan) mungkin bakat mereka tidak dapat digilap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata dalam masa sama penjawat awam perlu dihantar menjalani latihan berkaitan kompetensi, komunikasi dan kepimpinan.

“Apabila kita buat secara berstruktur, maka kita akan dapat mengenal pasti bakat yang ada, kumpulan bakat dan kita boleh mendidik generasi pemimpin seterusnya dalam perkhidmatan awam dan mana-mana organisasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan