EKONOMI

Hutang Isi Rumah Malaysia Terkawal Pada 84.3 Peratus Daripada KDNK - Gabenor BNM

15/08/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Hutang isi rumah Malaysia sebanyak 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), paras yang dianggap sesuai dengan keadaan ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata bank pusat terus memantau paras hutang isi rumah yang meningkat walaupun pinjaman diberikan secara berhemat dan dibayar balik tepat pada masanya.

“Dari perspektif kestabilan, ini adalah pinjaman berkualiti baik dan nisbah khidmat hutang (DSR) turut meningkat,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi KDNK Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata bank telah mengambil langkah secara berhati-hati dalam meluluskan pinjaman dan menyokong isi rumah melalui amalan pembiayaan yang baik.

“Nisbah kemerosotan nilai pinjaman isi rumah terkini berada pada paras baik, iaitu, 1.1 peratus, mencerminkan daya tahan peminjam isi rumah,” katanya.

Abdul Rasheed turut menegaskan bahawa BNM akan terus memantau perkembangan hutang isi rumah bagi memastikan kestabilan kewangan terpelihara selain kredit terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.65 trilion setakat akhir Mac 2025.

Walaupun paras ini kekal tinggi, ia diimbangi oleh aset isi rumah yang kukuh.

Beliau berkata sektor isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh aset kewangan berjumlah RM3.45 trilion pada akhir Mac 2025, iaitu 2.1 kali lebih tinggi daripada jumlah hutang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan