CHUKAI, 15 Ogos (Bernama) -- Kapal ‘hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu sejak 12 Ogos lepas, telah dituna ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalung di sini, kira-kira 11.30 pagi tadi.
Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata kapal berkenaan akan melalui pemeriksaan keselamatan sebelum siasatan penuh dijalankan.
Beliau berkata sebanyak 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu dan Pahang akan memasuki kapal berkenaan petang ini, bagi menjalankan pemeriksaan awal sebelum disusuli pasukan keselamatan lain.
"Proses menunda kapal diselaraskan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan Petronas dengan kerjasama beberapa agensi swasta. Kapal selamat tiba di KSB selepas melalui perjalanan sejauh 140 batu nautika yang mengambil masa lebih dua hari.
"Kapal ini akan dipastikan berada dalam keadaan selamat atau bebas risiko oleh HAZMAT sebelum anggota penyelamat bomba dan agensi lain masuk untuk tinjauan dan pemeriksaan lanjut," katanya pada sidang media di Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.
Mazlan berkata kejayaan menunda kapal itu adalah hasil kerjasama 62 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan serta rakan industri minyak dan gas.
Beliau berkata bagi melancarkan operasi, helikopter Dauphin AS 365 N3 digunakan untuk tugas pemantauan udara manakala Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim diterbangkan khas dari Kerteh ke Platform Larut sebelum dipindahkan ke kapal MV Aishah AIMS 1 untuk menaiki kapal 'hantu’ itu.
"Pasukan berkenaan berjaya memasang tali tunda yang kemudiannya diserahkan kepada kapal penyelamat MV JM Purnama bagi perjalanan sejauh 140 batu nautika.
"Ia adalah satu operasi berisiko kepada kru kapal penunda kerana kapal ‘hantu’ itu tidak mempunyai penumpang dan punca kebakaran juga tidak diketahui sama ada daripada gas berbahaya atau bahan kimia lain," katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga percaya kapal ‘hantu’ itu mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran sebuah kapal tangki asing di Tanjung Sedili Kecil, dekat perairan Johor Timur, Kota Tinggi yang berlaku minggu lepas, namun identiti kapal ‘hantu’ itu masih disiasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial