SUNGAI PETANI, 15 Ogos (Bernama) -- Polis menerima dua laporan berhubung insiden perlanggaran membabitkan dua kenderaan, iaitu jenis Toyota Corolla dan Nissan Grand Livina di Jalan Sekerat, dekat sini yang tular menerusi media sosial sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit selepas menerima dua laporan, malam tadi.
"Kira-kira pukul 8.30 malam, tular satu video yang memaparkan kereta jenis Nissan Grand Livina dipandu seorang lelaki berusia 30-an dilanggar oleh kereta Toyota Corolla dipandu lelaki berumur 40-an.
"Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari semalam, pemandu Nissan Grand Livina mendakwa keretanya telah dilanggar lari oleh pemandu Toyota Corolla menyebabkan dia bertindak mengekori kenderaan itu sehingga Jalan Sekerat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selepas bergerak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, pemandu Toyota Corolla menyedari dia diekori lalu bertindak memusingkan keretanya dan melanggar sisi kanan kereta Nissan Grand Livina itu.
"Pemandu Toyota Corolla juga keluar dari keretanya lalu bertindak mencabar dan memaki hamun pemandu Nissan Grand Livina sebelum beredar pulang ke rumahnya.
"Susulan kejadian, dua laporan diterima malam tadi, satu daripada pemandu Nissan Grand Livina manakala satu lagi daripada ibu pemandu Toyota Corolla," katanya.
Hanyan berkata motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan nyawa.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial