JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Serbu Stor Haram Jadi "Bank Diesel" Di Taiping

15/08/2025 09:59 AM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan menyimpan diesel tanpa permit di sebuah bengkel di Simpang, Taiping dalam satu serbuan menerusi Op Tiris 2025, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan pada 1.20 pagi itu, serbuan menemukan 36,000 liter cecair yang disyaki diesel di dalam beberapa tangki intermediate bulk container (IBC) dan skid tank.

"Seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.

"Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 36,000 liter, dua lori, sebuah skid tank dan 22 tangki IBC berserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM292,840," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata modus operandi sindiket terbabit ialah mendapatkan diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori yang tidak amanah, yang telah mencuri diesel milik syarikat tempat mereka bekerja.

Katanya, diesel terbabit dibeli sindiket dengan harga kira-kira RM2.15 seliter, kemudiannya dijual kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga RM2.45 seliter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan