EKONOMI

Kadar Dividen KWSP Dijangka Lebih Tinggi Pada 2025 - Ahli Ekonomi

14/08/2025 09:39 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Peningkatan pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada separuh pertama 2025 dijangka menghasilkan pembayaran dividen lebih tinggi tahun ini, manakala kenaikan berterusan dalam pasaran ekuiti global akan melonjakkan lagi prestasi suku ketiga, kata ahli ekonomi.

KWSP hari ini mengumumkan jumlah pendapatan pelaburannya naik tiga peratus kepada RM38.92 bilion pada separuh pertama 2025 daripada RM37.90 bilion pada separuh pertama 2024 dengan pendapatan pelaburan melonjak 22 peratus kepada RM20.61 bilion pada suku kedua 2025 daripada RM16.91 bilion pada suku sama tahun lepas.

Dana persaraan terbesar di Malaysia itu berkata ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburannya pada separuh kedua, menjana RM13.77 bilion, peningkatan 35 peratus berbanding RM10.23 bilion pada suku kedua 2024.

Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun terdapat kemungkinan untuk melihat pembayaran dividen lebih tinggi untuk 2025, berdasarkan prestasi separuh pertama 2025, peningkatan peratusan daripada tahun sebelumnya berkemungkinan tidak ketara.

“Ini berikutan peratusan pencarum baharu dan caruman sukarela lebih tinggi yang membawa sumbangan lebih tinggi, justeru jumlah peruntukan lebih tinggi untuk dividen diperlukan hanya untuk mengekalkan peratusan sama, malah lebih banyak lagi jika dividen lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman berkata pertambahan pencarum baharu dan caruman sukarela yang mencerminkan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan pekerja mengenai persediaan untuk bersara turut menyumbang kepada peruntukan lebih tinggi yang diperlukan untuk mengekalkan peratusan dividen.

Sepanjang separuh pertama 2025, KWSP mendaftarkan sebanyak 286,194 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian kepada 16.4 juta.

Pendaftaran majikan baharu mencecah 37,402, meningkatkan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 619,662 setakat Jun 2025, manakala caruman sukarela meningkat 55 peratus kepada RM11.68 bilion pada separuh pertama 2025 daripada RM7.55 bilion setahun sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi separuh pertama 2025 KWSP disokong oleh pasaran ekuiti global, naik semula pada separuh kedua 2025 seperti dicatatkan pada separuh pertama 2025.

Beliau berkata ia berbanding pendapatan pelaburan suku pertama 2025 yang turun 13 peratus kepada RM18.31 bilion daripada RM20.99 bilion pada suku sama pada 2024.

"Setakat ini, kita telah melihat pasaran ekuiti global terus menunjukkan peningkatan yang munasabah, diunjurkan menyumbang secara positif kepada prestasi suku ketiga," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata tahap ketidaktentuan ekonomi akibat tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan geopolitik akan terus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Selain itu, kadar faedah global sedang mengalami penurunan, menunjukkan momentum pertumbuhan di seluruh dunia semakin perlahan, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada prestasi pelaburan KWSP,” katanya.

Namun begitu, Mohd Afzanizam berkata jika KWSP dapat mengekalkan kadar dividen sama pada tempoh ketidaktentuan pasaran, ia adalah sesuatu yang harus diberi pujian kerana kekayaan pengalaman dana persaraan itu dalam mengharungi cabaran, ditambah dengan strategi peruntukan aset akan membantunya mencapai pulangan pelaburan memuaskan untuk keseluruhan 2025.

Pada 2024, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus untuk simpanan konvensional dengan jumlah pengagihan dividen sebanyak RM63.05 bilion dan 6.30 peratus untuk simpanan Shariah, jumlah pengagihan sebanyak RM10.19 bilion.

Kadar dividen 6.30 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi sejak 2017.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan