JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Kemuka Tuntutan Palsu Lebih RM3.6 Juta

14/08/2025 08:32 PM

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Sepasang suami isteri yang juga ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan mesin dan pensijilan bagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana bernilai lebih RM3.6 juta kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Perindustrian (DIDR).

Anita Mohamed, 54, dan Ang Ka Fat @ Kenny, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersubahat dengan pengurus sebuah syarikat untuk menyerahkan satu set dokumen bersama 12 dokumen sokongan Delivery Order mengandungi butiran palsu iaitu tuntutan perkhidmatan pensijilan MeSTI dan Halal dalam industri makanan untuk usahawan di bawah Program Bantuan IKS (BAIKS) Sabah 2022 termasuk kerja-kerja renovasi bernilai RM500,000 sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan satu set dokumen bersama 45 dokumen sokongan Delivery Order mengandungi butiran palsu, iaitu tuntutan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food Tag dan Halal dalam industri makanan untuk usahawan di bawah BAIKS Sabah 2023 termasuk kerja-kerja renovasi bernilai RM2.7 juta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu juga didakwa mengemukakan satu set dokumen invois sebuah syarikat lain bersama 13 dokumen sokongan Delivery Order mengandungi butiran palsu membabitkan tuntutan pembekalan 11 unit Machine Retort 100 liter, dua unit Machine Retort 150 liter, pendaftaran dan kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), ujian hidrostatik oleh JKKP serta pendaftaran premis bagi 13 unit bernilai RM414,400 sedangkan ia tidak dilaksana.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh serta tambahan jaminan RM20,000 dengan deposit RM3,000 dan syarat sama bagi pertuduhan bersama. 

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan  serta menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Azhier Farhan Arisin mewakili Anita dan Ang manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan