DUNIA

Ringgit Ditutup Rendah Selepas Tiga Hari Kenaikan

14/08/2025 07:17 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah hari ini, mengakhiri kenaikan selama tiga hari berturut-turut berikutan aktiviti pengambilan untung, apabila para peniaga memilih untuk mengunci keuntungan yang diterima sebelum ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2090/2145 daripada 4.2040/2085 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit merekodkan kenaikan ketara pada awal dagangan hari ini, mencecah sehingga 4.1860 pada sesi pagi, sebelum gandingan dolar AS-ringgit meningkat kepada 4.2088 kemudiannya.

Beliau berkata gandingan USD/MYR telah melepasi paras psikologi 4.20 tetapi aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku apabila peniaga berusaha untuk mengunci keuntungan.

“Buat masa ini, keyakinan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS semakin mendapat momentum dan ini memberi kesan buruk kepada dolar AS.

“Tanggapan bahawa Fed mungkin terlewat dalam menguruskan dasar monetari dijangka turut menyumbang kepada kelemahan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama kecuali euro yang meningkat kepada 4.9170/9234 daripada 4.9305/9357.

Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 2.8703/8742 daripada 2.8554/8586 semasa ditutup pada Rabu dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7146/7220 daripada 5.7078/7139.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang serantau.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2849/2895 daripada 3.2864/2902 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0004/0238 daripada 13.0276/0476, dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.41/7.42.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.1/261.6 daripada 259.4/259.8.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan