KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd melalui unit penyelesaian tenaga luar pesisir dan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) iaitu Yinson Production, telah memulakan pajakan tetap selama 15 tahun untuk FPSO Agogo berikutan pengeluaran Sijil Kesediaan Operasi Sementara (PORC) pada 12 Ogos, 2025.
Yinson Production berkata FPSO Agogo sebelum ini telah mencapai pengeluaran minyak pertama pada 29 Ogos, 2025 — empat bulan lebih awal daripada jadual asal dan 29 bulan selepas penganugerahan kontrak.
“PORC ini menandakan permulaan kontrak pajakan tetap dan operasi FPSO selama 15 tahun dengan pelanggan Azule Energy, pengeluar minyak dan gas bebas terbesar Angola serta usaha sama 50:50 antara BP dan Eni,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kontrak itu mempunyai tempoh tetap 15 tahun, dengan pilihan melanjutkan tempoh tahunan sehingga lima tahun. Nilai keseluruhan kontrak melebihi US$5 bilion (US$1=RM4.20).
Yinson Production menandatangani kontrak untuk penyediaan, operasi dan penyelenggaraan FPSO Agogo dengan Azule Energy pada Februari 2023. Dengan kapasiti pengeluaran 120,000 tong minyak sehari dan kapasiti penyimpanan 1.6 juta tong, FPSO itu ditempatkan di Projek Pembangunan Bersepadu Agogo West Hub di Blok 15/06 luar pesisir Angola.
Berikutan selesainya pembinaan, penyepaduan, penyiapan mekanikal dan pentauliahan, FPSO Agogo berlayar dari Shanghai, China pada Mac 2025, tiba di Angola pada Mei 2025 dan menyelesaikan penyambungan kepada tambatan pada Jun 2025.
Ia dilengkapi dengan rangkaian menyeluruh teknologi pengurangan pelepasan termasuk sistem suar tertutup, perlindungan hidrokarbon, teknologi kitaran gabungan, kawalan proses automatik dan pemacu elektrik.
Ia juga merupakan FPSO pertama di dunia yang beroperasi dengan teknologi pemerangkapan karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yinson Production Flemming Guiducci Grønnegaard berkata pencapaian pengeluaran minyak pertama empat bulan lebih awal daripada jadual menunjukkan keupayaan syarikat untuk menyiapkan projek yang kompleks mengikut atau lebih awal daripada jadual sambil memenuhi piawaian tertinggi.
“Kejayaan ini sekali lagi menyerlahkan kecemerlangan Yinson Production dalam pelaksanaan projek, memberikan kepastian kepada pelanggan kami dan mencipta nilai jangka panjang.
“Sebagai aset pertama kami di Angola, FPSO Agogo menandakan langkah penting dalam mengembangkan jejak kami di Afrika dan akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi Angola,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Azule Energy Adriano Mongini berkata jejak karbon rendah dan perintis teknologi pemerangkapan karbon kapal berkenaan menunjukkan komitmen terhadap operasi yang cekap dan mampan.
“Penganugerahan PORC merupakan satu pencapaian penting dan kami yakin dengan keupayaan Yinson untuk mengendalikan serta menyelenggara aset ini dengan cemerlang,” kata Mongini.
Pengarah Projek FPSO Agogo Per Dyberg berkata penghantaran lebih awal daripada jadual mencerminkan kerjasama cemerlang antara Yinson Production dan Azule Energy.
“Semasa kami menyerahkan kepada rakan-rakan di bahagian operasi, saya yakin FPSO Agogo akan terus berprestasi pada tahap tertinggi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial