DUNIA

Ringgit Terus Meningkat Hari Ketiga Berturut-turut Susulan Dolar AS Lemah

13/08/2025 07:48 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS hari ketiga berturut-turut berikutan kedudukan selamat dolar AS yang semakin lemah selepas data Julai Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) mencatat angka lebih rendah daripada jangkaan, menguatkan andaian kepada penurunan kadar faedah pada September.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.2040/2085 berbanding dolar AS, naik 0.57 peratus daripada 4.2290/2320 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan iaitu 2.7 peratus pada Julai disebabkan terutamanya daripada penurunan sederhana kadar sewa setara pemilik (OER) kepada 4.1 peratus selepas kekal 4.2 peratus selama dua bulan berturut-turut.

Beliau berkata OER menyumbang kira-kira 25 peratus daripada wajaran dalam pengiraan IHP.

“Pasaran buruh yang lemah dan kadar inflasi stabil dilihat akan mempengaruhi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada September berikutan dalam mesyuarat pada Julai, dua ahli menyokong penurunan kadar 25 mata asas,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup rendah berbanding mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8490/8512 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding euro kepada 4.9305/9357 daripada 4.9090/9125 semalam dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.7078/7139 daripada 5.6905/6946.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2864/2902 daripada 3.2867/2893 semasa ditutup semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/259.8 daripada 259.6/259.9.

Bagaimanapun mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0276/0476 daripada 13.0135/0300 sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.41/7.42.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan