SUKAN

Pelepasan Hafizul Ke Skuad Kebangsaan Masih Dalam Pertimbangan Kerajaan Negeri - Aminuddin

13/08/2025 05:40 PM

SEREMBAN, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan perlu meneliti keperluan dan prosedur yang ditetapkan sebelum membenarkan pemain sepak takraw Negeri Sembilan Antlers, Hafizul Hayazi, menyertai skuad kebangsaan bagi mewakili negara di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sebagai majikan pihaknya memerlukan penjelasan dan prosedur operasi standard (SOP) yang tepat daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memastikan kebajikan pemain dapat diuruskan dengan baik, selain membolehkan atlet tersebut terus beraksi dalam Liga Sepaktakraw (STL) sehingga tamat.

“Kalau kita lepaskan pemain ini bermain dengan skuad kebangsaan, adakah dia layak beraksi bersama pasukan Antlers Negeri Sembilan? PSM perlu membuat keputusan...jangan apabila pemain menerima kontrak, dia tidak boleh bermain STL, ini pernah berlaku.

“Kita tidak mahu pemain berdepan masalah...lagi satu apabila pemain ini dipinjamkan, gaji itu perlu dibayar oleh yang meminjam. Kita mahu berlaku jujur, SOP yang betul supaya tidak aniaya atlet yang mewakili negara ini, hal ini perlu dijelaskan dulu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Media semalam melaporkan PSM sedang berusaha memastikan dua pemain berpengalaman, apit kanan Hafizul dan apit kiri Zuleffendi Sumari, berada dalam skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA pada hujung tahun ini.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata perbincangan bersama jurulatih telah diadakan bagi memastikan kedua-dua pemain tersebut dibawa ke temasya dwitahunan itu dalam usaha memperkuat cabaran negara.

Mohd Sumali memaklumkan bahawa masalah utama berkaitan melepaskan kedua-dua pemain itu ialah tempoh cuti panjang yang diperlukan untuk menyertai latihan pusat.

Hafizul dan Zuleffendi sebelum ini terpaksa diketepikan daripada skuad negara kerana tidak mendapat pelepasan majikan namun kedua-dua pemain kini menunjukkan prestasi cemerlang bersama tekong Haziq Hairul Nizam, apabila membantu Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan