JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Tahan Tiga Lelaki, Rampas Minuman Keras Tidak Bercukai Lebih RM1.23 Juta

13/08/2025 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dan merampas 57,816 tin minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai dalam operasi bersepadu intra/inter agensi di sebuah premis di Shah Alam, Selangor, semalam.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman hari ini memaklumkan selain minuman keras, pihaknya  merampas sebuah lori dan empat telefon bimbit pelbagai jenama, dengan kesemua rampasan dianggar bernilai lebih RM1.23 juta.

"Ketiga-tiga mereka yang berusia lingkungan 29 hingga 68 tahun disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Undang-Undang Kecil 1974.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut mengeluarkan kompaun RM2,000 ke atas premis berkenaan kerana kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Bandaraya Shah Alam 2007,” menurut PGA dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu operasi berkenaan diketuai Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat PGA Bukit Aman bersama Risik Briged Tengah PGA serta dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan MBSA. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan