Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, disokong oleh penurunan 0.43 peratus dalam Indeks Dolar AS (DXY) kepada 98.097 selepas kadar inflasi AS lebih rendah daripada jangkaan.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2115/2285 berbanding dolar US daripada 4.2290/2320 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mungkin mendapat sokongan hari ini dengan dolar US-ringgit (USD/MYR) dijangka diniagakan antara RM4.20 dan RM4.23 dalam persekitaran kebarangkalian tinggi penurunan kadar faedah AS akan berlaku.
Beliau berkata kadar inflasi AS lebih rendah sebanyak 2.7 peratus pada Julai, sebahagian besarnya didorong oleh penyederhanaan dalam Sewa Setara Pemilik (OER) kepada 4.1 peratus selepas berada pada 4.2 peratus selama dua bulan berturut-turut.
OER menyumbang kira-kira 25 peratus daripada wajaran Indeks Harga Pengguna (CPI), katanya.
“Indeks ekuiti penanda aras AS meningkat lebih daripada satu peratus manakala hasil pada nota Perbendaharaan AS dua tahun jatuh empat mata asas kepada 3.73 peratus.
"Ini menunjukkan bahawa inflasi tajuk lebih rendah daripada unjuran telah mengukuhkan jangkaan untuk penurunan kadar AS, mendorong kenaikan dalam pasaran ekuiti," katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.8502/8619 daripada 2.8490/8512 ketika ditutup pada Selasa dan merosot berbanding euro kepada 4.9182/9380 daripada 4.9090/9125 semalam, bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6876/7106 daripada 5.6905/6946.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2825/2960 daripada 3.2867/2893 ketika ditutup semalam dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.9965/13.0570 daripada 13.0135/0300 sebelumnya.
Ringgit juga menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/259.6 daripada 259.6/259.9 sebelum itu dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.41 daripada 7.41/7.42 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial