AM

PESAWAH PERAK TAK PERLU TUNGGU ISYTIHAR BENCANA UNTUK MOHON BANTUAN

12/08/2025 08:33 PM

TAIPING, 12 Ogos (Bernama) -- Pesawah di Perak yang terjejas akibat kemarau, banjir atau ribut boleh terus memohon bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi tanpa menunggu pengisytiharan kawasan bencana.

Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman berkata permohonan boleh dibuat di Integrasi Pembangunan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian atau pejabat Jabatan Pertanian berhampiran.

Menurutnya pesawah perlu mengambil gambar keadaan sawah yang rosak, membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen itu kepada pegawai bertugas dalam tempoh tiga bulan selepas bencana.

“Kalau lebih tiga bulan, kita tak dapat proses kerana bantuan ini dibayar secara tunai terus ke akaun pesawah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agro Daerah Larut Matang dan Selama 2025 serta prapelancaran Pusat Herba Pertanian Perak di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong Teh Kok Lim serta Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat.

Norsiyenti berkata bagi tanaman berusia 70 hari ke bawah, bantuan berjumlah RM860 disalurkan, manakala melebihi 70 hari menerima RM1,800.

Terdahulu, pesawah di Kerian berdepan masalah kemarau berpanjangan sejak Mei, menyebabkan paras air Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai terus berkurangan.

Dalam perkembangan lain, Norsiyenti berkata Pusat Herba Taiping kini menempatkan kira-kira 220 spesies herba yang dibawa dari bekas Taman Herba Simpang Pulai, menjadikannya satu-satunya pusat seumpamanya di Perak.

Katanya kerajaan negeri meluluskan kira-kira RM740,000 bagi menaik taraf jalan ke pusat berkenaan yang dibangunkan sejak 2020 namun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan