AM

Fahmi Fadzil Ucap Takziah Pemergian Rosli Manah

12/08/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan hiburan akhbar Utusan Malaysia Mohd Rosli Manah, 58, yang meninggal dunia tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan Allahyarham banyak menyumbang jasa dalam usaha memartabatkan industri hiburan tanah air selama hampir 30 tahun.

“Takziah kepada keluarga bekas editor hiburan Rosli Manah, yang meninggal dunia tengah hari tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook, petang ini.

Terdahulu, isteri Mohd Rosli,  Asma Ghani, 51, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan khabar duka itu dan memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang pada 12.59 tengah hari tadi akibat komplikasi buah pinggang, kencing manis dan tuberkulosis (tibi).

Jenazah disolatkan di Masjid Jamek Pekan Kajang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan petang tadi.

Bernama sebelum ini melaporkan Allahyarham yang juga bekas editor majalah hiburan URTV menghidap diabetes sejak tujuh tahun lepas dan keadaannya menjadi kritikal selepas tidak mengambil ubat seperti yang dijadualkan sehingga mengakibatkan jangkitan pada otak.

Jangkitan kuman pada otak itu menyebabkan beliau sukar bertutur dan memerlukan rawatan lanjut.

Rosli memulakan kerjaya di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 1993 dan berkhidmat lebih 25 tahun sebagai wartawan serta editor hiburan, termasuk mengetuai portal Mangga Online.

Selepas Utusan menamatkan operasi pada 2019, beliau melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluarga.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan