EKONOMI

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Meningkat 5.9 Peratus Pada Jun 2025 - DOSM

12/08/2025 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 5.9 peratus kepada 25,679 tan pada Jun 2025 daripada 24,256 tan pada Mei 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli turun 14.1 peratus daripada 29,881 tan pada Jun 2024.

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2025 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 84.7 peratus berbanding sektor estet pada 15.3 peratus,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Jun 2025 hari ini.

DOSM menjelaskan jumlah stok getah asli pada Jun 2025 berkurangan 11.4 peratus kepada 164,189 tan daripada 185,324 tan pada Mei 2025.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 85.2 peratus diikuti kilang pengguna getah (14.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 29,719 tan pada Jun 2025, turun 17.3 peratus daripada 35,939 tan pada Mei 2025.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Jun 2025 diikuti Jerman (18.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.6 peratus), Amerika Syarikat (7.3 peratus) dan India (3.8 peratus),” jelas jabatan itu.

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 bilion pada Jun 2025, susut 1.7 peratus daripada RM1.3 bilion yang dicatatkan pada Mei 2025.

Analisis perbandingan harga purata bulanan pula menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 9.0 peratus kepada 558.66 sen sekilogram pada Jun 2025 daripada 613.80 sen sekilogram pada bulan sebelumhya.

Sekerap turun sebanyak 7.0 peratus kepada 564.13 sen sekilogram daripada 606.67 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

“Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula menunjukkan penurunan antara 8.9 peratus hingga 10.7 peratus.

“Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (‘Technically Specified Rubber’) susut 5.4 peratus daripada US$1.70/kg kepada US$1.61/kg dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) berkurangan 1.5 peratus daripada US$2.19/kg kepada US$2.16/kg,” tambah DOSM.

Prestasi suku kedua 2025 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 28.6 peratus kepada 67,943 tan metrik daripada 95,101 tan pada suku pertama 2025.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2025 pula mencatatkan penurunan 11.5 peratus daripada 76,814 tan pada suku kedua 2024.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Jun 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur dibuka bercampur-campur sepanjang Jun 2025 dengan harga GMM 20 meningkat sedikit.

Jabatan itu menjelaskan prestasi itu disokong oleh aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau ekoran peningkatan kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah getah asli yang semakin berkurangan susulan keadaan cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand

“Sentimen pasaran meningkat susulan data ekonomi China yang positif ditambah pula dengan unjuran optimis oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengenai permintaan getah asli  dan kenaikan harga minyak mentah,” menurut DOSM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan