KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Dalam mendepani cabaran semasa dan arus teknologi digital dalam industri pembinaan, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) melancarkan PKBM BIM Satellite Centre, iaitu sebuah pusat latihan teknologi digital pembinaan di Seksyen 13, Shah Alam.
Presiden PKBM Datuk Dr Azman Yusoff berkata pusat latihan berkenaan, dibina dengan usaha sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) E-Construct Services Sdn Bhd yang turut menyumbang 15 unit komputer untuk kegunaan peserta yang mengikuti program latihannya.
“Istilah seperti BIM atau Building Information Modelling, IoT (Internet benda), analitik data, drone mapping serta robotic assistance dalam pembinaan bukan lagi perkara asing di peringkat antarabangsa. Namun kita harus akui bahawa masih ramai kontraktor di Malaysia berada di tahap awal adaptasi teknologi.
“Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana akses kepada sumber, pendedahan dan sokongan yang masih belum mencukupi,” katanya dalam ucapan pada majlis Makan Malam Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKBM Kali Keenam di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Azman berkata pusat latihan itu akan mula beroperasi bulan hadapan dengan peringkat awal latihan akan ditawarkan kepada kontraktor PKBM, dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Ini kerana Azman berkata digitalisasi bukan pilihan lagi, kerana ia kini menjadi survival dan kontraktor Bumiputera mesti keluar daripada zon selesa jika mahu bersaing secara profesional.
Beliau berkata industri pembinaan ketika ini, menghadapi cabaran dan tekanan dari pelbagai sudut dan berikutan itu PKBM mengusulkan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk mengurangkan margin cut-off tender daripada 15 peratus kepada 10 peratus, bersesuaian dengan realiti harga pasaran semasa.
“Kita juga berharap agar mekanisme VOP atau Variation of Price dikembalikan semula bagi projek kerajaan sedia ada, untuk menangani kenaikan harga bahan mentah yang mendadak, agar kenaikan harga barang dapat diseimbangkan seterusnya mengelakkan projek sakit dan gagal disiapkan.
“Kerjasama antara CIDB dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilihat sangat berkesan bagi memantau harga bahan binaan untuk mengelakkan manipulasi dan ketidaktentuan harga pasaran yang membebankan,” katanya.
Dalam pada itu, Azman juga berharap agar lebih banyak peruntukan diberikan kepada kontraktor kecil untuk mereka menjana pendapatan mereka pada Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial