KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Bulan Ogos kembali menyemarakkan semangat patriotik apabila rakyat digalakkan menghiasi kediaman, pejabat dan kenderaan dengan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara.
Berbaki 21 hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025, rakyat di seluruh negara mula mengibarkan bendera kebangsaan itu, lambang maruah dan kedaulatan Malaysia.
Tinjauan Bernama di Kampung Baru, di tengah-tengah IBU KOTA dan Perumahan Awam Sri Perak, Sentul mendapati penduduk sudah memasang Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sebagai tanda menyokong Bulan Kebangsaan.
Di Dataran Merdeka, suasana sambutan mula terasa apabila kawasan bersejarah itu dihiasi bendera serta dekorasi bertema patriotisme.
Di MELAKA pula, Jalur Gemilang mula berkibar di sepanjang jalan utama seperti Jalan Hang Tuah, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Bendahara dan Jalan Laksamana hasil inisiatif pihak berkuasa tempatan.
Beberapa hotel, hospital swasta dan lokasi pelancongan turut menyertai usaha ini, namun tinjauan mendapati masih banyak kawasan kediaman dan premis perniagaan belum memasang bendera.
Suasana patriotik juga dapat dilihat di Kuantan, PAHANG apabila Jalur Gemilang dan bendera Pahang berkibar megah di sepanjang jalan utama, premis perniagaan serta bangunan pentadbiran kerajaan menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.
Majlis Bandaraya Kuantan turut melancarkan Program Pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang dari 25 Julai hingga 16 Sept bagi menggalakkan penyertaan rakyat.
Seorang pesara kerajaan, Sallehuddin Yaakob Rahman, 62, berkata beliau akan menggantikan bendera lama di rumahnya dengan yang baharu sebelum 31 Ogos.
“Insya-Allah, saya akan tukar kepada yang baharu supaya kita sama-sama dapat memeriahkan suasana,” katanya.
Di KEDAH, kemeriahan ‘perang’ Jalur Gemilang juga mula dapat dirasai apabila premis dan rumah kediaman di kawasan sekitar daerah Kota Setar, Pendang dan Yan mula memasang bendera.
Tan Chin Eng, 62, dari Yan berkata dia biasanya akan memasang bendera tersebut setiap kali tibanya bulan kebangsaan.
“Saya akan cuba memasangnya sebelum hari sambutan… masih banyak rumah dan premis yang belum pasang bendera,” katanya.
Bagi penjawat awam, Nur Syahirah Azlan, 34, dari Kota Setar, tiga Jalur Gemilang sudah berkibar di hadapan rumahnya.
“Setiap tahun saya dan suami akan pasang bendera hingga Hari Malaysia… sepatutnya semua orang kibarkan sekurang-kurangnya satu bendera sebagai tanda cintakan negara,” katanya.
Bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Pulau Pinang pada 16 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial