AM

PKPS Laksana Kompleks Ternakan Tenusu Berskala Besar, Lonjak Pengeluaran Tempatan

10/08/2025 05:03 PM

KUALA KUBU BHARU, 10 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melaksanakan projek kompleks ternakan tenusu berskala besar, Ehsan Dairy Farm yang disasarkan mula beroperasi awal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek itu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import, yang kini mencecah sehingga 94 peratus.

Beliau berkata dengan tanah seluas 42 ekar di Ladang PKPS Sungai Tengi di sini, ia disasarkan mampu menghasilkan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tahap sara diri (SSL) tenusu negara yang kini masih rendah iaitu sekitar 5.3 peratus.

Menurut Mohamad Khairil, Ehsan Dairy Farm yang akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi iaitu Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia turut dijangka menjana pendapatan tahunan melebihi RM7.5 juta serta menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

“Ia akan mengintegrasikan teknologi pengurusan ladang pintar, automasi dan sistem kesihatan haiwan digital, menyokong pembangunan ekosistem agroindustri hiliran termasuk pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran susu tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah kompleks itu di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohamad Khairil berkata projek itu juga adalah komponen utama dalam pelaksanaan Rangka Tindakan Sekuriti Makanan Selangor 2021-2025 yang menumpukan kepada tiga tonggak utama pengeluaran, pengedaran dan keterjaminan.

Beliau berkata Ehsan Dairy Farm turut dikategorikan sebagai inisiatif strategik nasional sejajar dengan dasar Kerajaan Persekutuan untuk memodenkan sektor agromakanan dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan domestik.

“Dengan kerjasama erat antara kerajaan Selangor, Persekutuan dan agensi pelaksana seperti PKPS, Ehsan Dairy Farm dijangka menjadi model ladang tenusu moden utama negara.

“Ia mencerminkan komitmen jangka panjang ke arah penyediaan pemakanan sihat, pengurangan kebergantungan kepada import dan pemeliharaan kedaulatan makanan negara,” katanya.

Ehsan Dairy Farm antara lain akan dilengkapi kemudahan moden yang menyokong operasi penternakan secara sistematik dan berskala besar termasuk menggunakan sistem Swing Over Rapid Exit yang berkeupayaan memerah susu 60 ekor lembu secara serentak, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.

Ia juga bakal dilengkapi dengan teknologi terkini jenama Dairymaster iaitu Neck Collar (Moomonitor) yang berfungsi mengenal pasti lembu yang berada dalam fasa berahi secara automatik dan tepat, satu inovasi penting dalam pengurusan pembiakan.

PKPS adalah syarikat kerajaan negeri (GLC) Selangor yang bertanggungjawab memacu sektor pertanian dan agromakanan negeri, sejajar dengan perkembangan sosioekonomi rakyat Selangor melalui pelbagai projek komersial dan tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) yang berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan