KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan memperkukuh peranan SKUAD Antidadah sebagai platform kesukarelawanan bagi memperhebat usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti.
Pengarah AADK Kelantan Supindi Usop berkata skuad itu berperanan menyampaikan mesej pencegahan, memberi sokongan awal kepada individu yang berdepan masalah dadah dan sosial, serta mempromosikan gaya hidup sihat tanpa dadah.
Beliau berkata pelaksanaan aktiviti skuad dibahagikan kepada lima cabang utama iaitu SKUAD Aktif yang memfokuskan aktiviti sukan dan riadah, SKUAD Prihatin yang menyediakan bantuan, sokongan emosi dan khidmat nasihat, SKUAD Rohani yang menganjurkan program keagamaan dan moral, SKUAD K.A.M.I yang menggerakkan kempen melalui media sosial, pameran dan edaran risalah, serta SKUAD Korporat yang memberi pendedahan kerjaya, latihan kemahiran dan keusahawanan.
Selain itu, AADK turut memperkenalkan SKUAD Junior bagi menarik penyertaan kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun untuk memupuk kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta menggalakkan penglibatan mereka dalam kempen pencegahan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah keahlian SKUAD Antidadah Kelantan kini seramai 13,429 orang, dengan keahlian terbuka kepada rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 45 tahun.
“Orang ramai juga berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan menyertai aktiviti menarik di reruai AADK sempena PMR peringkat Kelantan yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini,” katanya.
Antara tarikan utama termasuk jualan produk Sokongan Untuk Kepulihan dan Antidadah (SUKA), pendaftaran SKUAD Antidadah, pameran antidadah, kaunter aduan, khidmat nasihat, serta pendaftaran ahli skuad.
PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.
Program itu menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial