KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalin kerjasama strategik dengan Shopee Malaysia melalui penganjuran Agromarketing Masterclass Shopee Edition bagi memperkasa usahawan agromakanan tempatan dengan kemahiran pemasaran digital.
Program khas selama dua hari bermula 26 Julai itu berlangsung di Ibu Pejabat Shopee, Mid Valley City di sini, melibatkan 100 usahawan berdaftar di bawah FAMA terdiri daripada pengusaha produk segar dan berproses.
Menurut kenyataan FAMA, kerjasama itu turut menyokong aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, khususnya dalam memacu transformasi digital sektor agromakanan serta memperluas peluang pasaran kepada pengeluar tempatan melalui platform e-dagang.
“FAMA yakin pendekatan ini akan menjadikan usahawan agromakanan negara lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran digital yang dinamik dan mewujudkan laluan ke arah penembusan pasaran antarabangsa, terutamanya melalui platform e-dagang berskala besar seperti Shopee,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA Siti Nurul Haida Ibrahim berkata program itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan ilmu pemasaran berasaskan teknologi, pengurusan platform e-dagang dan penghasilan kandungan promosi yang mampu menarik pelanggan sasaran.
“Sebanyak 400 produk agromakanan, merangkumi pelbagai jenis unit penyimpanan stok (SKU) berjaya disenaraikan di platform Shopee sepanjang pelaksanaan program ini. Usahawan dibimbing menguasai strategi pengendalian kedai digital, logistik pesanan serta teknik menghasilkan bahan promosi yang dapat membantu mereka menyesuaikan model perniagaan dengan permintaan pasaran moden,” katanya.
Antara elemen utama latihan ialah penggunaan Shopee Live yang membolehkan peserta menjalankan siaran langsung dari premis atau pusat pemprosesan mereka bagi mempamerkan keaslian produk dan proses pengeluaran, sekali gus membina kepercayaan pengguna terhadap naratif sebenar pengusaha.
Program itu digerakkan melalui empat komponen utama iaitu modul asas dan latihan, pemantauan prestasi, pertandingan interaktif Shopee Live Streaming Challenge serta pengiktirafan kepada usahawan cemerlang yang dinobatkan sebagai Ikon Agromarketing Masterclass Shopee Edition.
FAMA menyasarkan program yang berlangsung dari Julai hingga Disember ini bagi meningkatkan jualan peserta sekurang-kurangnya 50 peratus, selain memperluas akses pengguna kepada produk segar dan berproses keluaran tempatan di pasaran digital nasional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial