KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Perlis memilih sekolah rendah sebagai lokasi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri tahun ini, bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah lagi.
Pengarah Penerangan Perlis Aidatul Shima Che Hassan berkata majlis pelancaran yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai di Kuala Perlis dekat sini, antara lain melibatkan penyertaan murid dalam aktiviti bertemakan patriotik seperti basikal berhias dan penghasilan Jalur Gemilang terpanjang.
“Ini juga disokong dengan penyertaan 14 kenderaan jabatan dan agensi serta 30 motosikal daripada Kelab Skuter Perlis untuk menjayakan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang merentasi tiga kawasan Parlimen bermula hari ini dan esok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas majlis pelancaran yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling.
Aidatul Shima juga menyeru semua lapisan masyarakat di negeri itu agar menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menyahut Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan tokoh kemerdekaan terdahulu.
Sementara itu, Guru Besar SK Seberang Ramai Suzaide Md Noh berkata pihak sekolah amat berbesar hati menjadi lokasi pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini yang disifatkan sebagai pengalaman bermakna bagi murid dan guru.
Beliau berkata program itu memberikan pendedahan secara langsung kepada murid mengenai erti kemerdekaan melalui aktiviti penghasilan bendera terpanjang dan persembahan patriotik.
“Inilah masa yang sesuai untuk memupuk semangat cintakan negara, kita harap mereka (murid) akan terus ingat pengalaman ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial