KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sejarah Asia lebih dihargai serta bebas daripada naratif penjajah dan meminta agar Tipu Sultan, pemerintah Kerajaan Islam Mysore yang menentang Inggeris, dijadikan sebagai lambang keberanian, pengajaran serta toleransi.
Beliau berkata pemerintahan Tipu Sultan dan bapanya, Haider Ali yang terkenal pada akhir abad ke-18, bukan sahaja dikenali kerana dasar-dasar pentadbiran progresif serta inovasi dalam ketenteraan malah disebabkan keberanian mereka menentang penjajahan oleh kuasa kolonial utama dunia ketika itu - Syarikat Hindia Timur Inggeris.
"Sejarah bukanlah sesuatu yang sentiasa adil dan seorang cendekiawan kita iaitu Syed Hussein Alatas pernah berkata ia perlu ditulis semula kerana sejarah tidak seharusnya hanya dinukilkan oleh pihak yang menang atau dilihat semata-mata daripada lensa penjajah," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa pelancaran pameran bertajuk Ngauman Harimau Mysore: Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan (1761-1799) di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini malam ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan isteri serta wakil-wakil kedutaan dan konsulat.
Anwar turut berkongsi pengalaman peribadi beliau ketika melawat Mysore sebelum menjadi Perdana Menteri dan menzahirkan kekagumannya terhadap keadaan istana Tipu Sultan yang begitu sederhana selain usaha tokoh itu melindungi kuil-kuil Hindu termasuk sebuah kuil purba di negara tersebut.
Beliau memuji pandangan jauh Tipu Sultan dalam menguasai teknologi ketenteraan bagi menentang kuasa penjajah dan merujuk kepada meriam serta senjata api Kesultanan Islam Mysore yang telah mengejutkan Inggeris ketika pertempuran awal.
"Ini bukan sekadar pameran biasa sebaliknya menonjolkan sejarah India dan dunia Islam serta perjuangan menentang penjajah... dalam konteks ini, pemerintahan Inggeris.
"Kebijaksanaan diplomatik beliau terserlah dalam usahanya menjalinkan hubungan dengan pelbagai kesultanan sama ada Islam mahupun Hindu di India serta langkah diplomasi beliau di peringkat antarabangsa terutama dalam meyakinkan tentera Perancis untuk menyokong perjuangannya menentang Inggeris," katanya.
Anwar berkata memandangkan rakyat Malaysia secara umumnya kurang mengenali legasi Tipu Sultan dan Haider Ali, pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia diharap dapat memperkaya pemahaman masyarakat terhadap dua tokoh bersejarah yang begitu signifikan dengan perjuangan menentang penjajahan.
Pameran istimewa itu, yang bakal berlangsung dari 6 Ogos 2025 hingga 11 Jan 2026 di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia, mengangkat warisan luar biasa kedua-dua tokoh penting dalam sejarah India Selatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial