KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Rundingan mengenai pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan bersama-sama untuk mencapai kesepakatan, sekurang-kurangnya bagi menghentikan atau meneruskan gencatan senjata, selain memastikan tiada lagi pelanggaran, termasuk di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
“Kita mengharapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia dapat dimeterai pada 7 Ogos ini… kita berdoa agar mudah-mudahan ada pencapaian kesepakatan dan penyelesaian muktamad kerana ini bukan sahaja menjejaskan hubungan dua negara, malah turut menjejaskan nama baik ASEAN.
“Segala masalah ini harus cuba diselesaikan secara muafakat dan setakat ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Kemboja dan Thailand yang menunjukkan sikap sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Mesyuarat GBC berlangsung di ibu negara bermula semalam sehingga 7 Ogos, melibatkan menteri pertahanan dan pegawai keselamatan tertinggi dari Thailand dan Kemboja.
Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya dan dipengerusikan oleh Anwar.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, turut mencapai persetujuan untuk mengadakan Mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu.
Menjawab soalan tambahan Rodiyah mengenai pasukan pemantau, Perdana Menteri berkata Malaysia bersedia menyelaraskan penghantaran pasukan tersebut ke sempadan Thailand-Kemboja berdasarkan permintaan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini keadaan di kawasan tersebut masih terkawal walaupun situasi masih sensitif dan tegang.
“Sama ada perlu kehadiran tentera memantau, itu akan diputuskan kemudian… tidak mudah bila ada perlakuan pembunuhan dan penembakan, ia mengambil masa untuk mengurang dan menyejukkan suhu kepanasan dan kemarahan itu.
“Setakat ini, kita mempunyai satelit yang membantu memantau dan mereka telah bersetuju agar pemantauan ini diselaraskan oleh Atase Pertahanan Malaysia dan Atase Pertahanan negara-negara ASEAN yang memantau dari jauh,” katanya.
Menurut Perdana Menteri sebarang kerangka tetap mengenai pertikaian sempadan dua negara itu melalui ASEAN Regional Forum atau Security Initiative masih terlalu awal untuk ditentukan buat masa ini.
Menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada Malaysia akan terus menjadi tuan rumah bagi mesyuarat GBC yang sedang berlangsung meskipun tempoh Kepengerusian ASEAN berakhir tahun depan, Anwar berkata mandat telah diberikan kepada Malaysia untuk terus menjadi ‘orang tengah’ sehingga isu tersebut selesai.
“Jadi, kita tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN dan tempoh penyelesaian ini dijangka selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan. Namun, dalam mana-mana rundingan, kita tidak boleh menetapkan had masa. Cuma yang kita tegas ialah mesti berlaku gencatan senjata.
“Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan penyertaan dan penglibatan kuasa besar; rundingan hanyalah di antara negara-negara ASEAN. Kalau pun ada pasukan pendamai di sempadan, kehadiran mereka haruslah terhad kepada wakil atau tentera negara ASEAN. Bantuan logistik daripada Amerika Syarikat dan China pula amat dialu-alukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial