POLITIK

UMNO Mahu Kuota Tujuh Menteri Penuh Dikembalikan Kepada Parti - Ahmad Zahid

31/05/2025 02:53 PM

SERIAN, 31 Mei (Bernama) -- UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu, susulan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berkata beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui prerogatif yang beliau ada, akan dapat mengembalikan kuota tersebut kepada UMNO.

“Bagi saya yang lebih penting UMNO diwakili tujuh orang menteri dalam Kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada UMNO.

“Jika begitu, sekarang UMNO tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO maka layaklah UMNO memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Selain Ahmad Zahid dan Tengku Zafrul, lima lagi menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan daripada UMNO ialah Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Datuk Seri Azalina Ohtman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa UMNO telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti dan ia dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan.

“Semalam apabila kita semak, tiada (terima surat), tetapi pagi tadi apabila kita semak semula surat tersebut telah dihantar kepada Mohd Sumali. Kita terima surat peletakan jawatan dan keluar keahlian sebagai ahli UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan meminta pandangan penasihat undang-undang UMNO untuk melihat sama ada Tengku Zafrul telah melanggar perjanjian ditandatanganinya semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Untuk calon dalam PRU lepas, jika mereka keluar parti maka mereka boleh didenda RM100 juta berdasarkan akuan sumpah mereka. 

“Tengku Zafrul bertanding, tetapi beliau kalah dan dilantik semula sebagai Senator. Jadi saya perlu check dulu dengan penasihat undang-undang UMNO,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan