KANGAR, 13 Jun (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi pernah disalurkan bank itu setakat ini.
Pengarah Urusan RHB Islamic Datuk Adissadikin Ali berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM350,000 berbanding RM650,000 pada tahun lepas.
Beliau berkata pemberian zakat itu mencerminkan komitmen RHB Islamic dalam memperkukuh kerjasama dengan MAIPs bagi usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan komuniti B40.
“Penyerahan zakat ini juga menandakan sokongan berterusan kami terhadap pelaksanaan program-program yang memberi impak besar kepada kesejahteraan ummah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan zakat itu serta sumbangan untuk Projek Pemerkasaan Ekonomi Asnaf B40 di sini hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat ke majlis itu. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, Adissadikin berkata bermula 2021 hingga tahun ini, sebanyak RM532,449 zakat wakalah telah disalurkan RHB Islamic kepada enam inisiatif pemerkasaan ekonomi dan komuniti hasil kerjasama dengan MAIPs.
Beliau berkata antara projek pernah dilaksanakan termasuk Harvest Bakery, Bengkel Jahitan dan Bengkel Pembaikan Telefon Bimbit yang secara keseluruhannya memberikan manfaat kepada hampir 200 individu.
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi latihan kemahiran dan praktikal tetapi menyediakan fasiliti lengkap bagi memastikan kelangsungan dan penjanaan pendapatan secara mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Adissadikin turut mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM313,000 di bawah Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Perlis 2025 bagi membiayai Projek Ternakan Ikan Keli di dua lokasi iaitu di Jalan Kaki Bukit Paya, Kangar dan Taman Desa Asnaf Chuping dekat Padang Besar.
Beliau berharap kerjasama erat antara RHB Islamic dan MAIPs akan terus diperkukuh pada masa akan datang dalam usaha memperkasa ekonomi kumpulan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial