KOTA KINABALU, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang melaksanakan kajian terhadap Projek Tamu Desa sebagai model pengupayaan keusahawanan luar bandar, yang bakal menjadi rujukan penting dalam memperkasa sektor itu.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kajian tersebut akan dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama enam bulan, bermula bulan ini hingga Disember ini.
"IKMA akan memulakan kajian ini dengan melantik pegawai penyelidik dari IKMA dan UMS yang akan membuat kajian di tapak-tapak Tamu Desa untuk menilai penyertaan masyarakat serta potensi model koperasi dalam pengurusan dan pembangunan aktiviti keusahawanan di Tamu Desa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ewon, kajian tersebut amat penting kerana ia akan memberi input bermakna kepada KUSKOP dalam merangka dasar dan keputusan berkaitan, terutama melibatkan aspek penyelenggaraan, pemasaran dan jaringan antara Tamu Desa.
Sementara itu, Pegawai Latihan Kanan IKMa Sabah merangkap Ketua Pasukan Penyelidik, Shamsiah Shamsudin berkata pasukan penyelidik juga akan menjalankan kajian di pasar malam di Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk meninjau kejayaan koperasi dalam mengurus pasar malam.
Menurutnya, kajian perbandingan ini penting kerana konteks Pasar Malam hampir sama dengan Tamu Desa, dan pengalaman dari Semenanjung boleh dimanfaatkan untuk pembangunan Tamu Desa di Sabah yang lebih bersifat tradisi.
Kajian ini juga akan meneliti potensi koperasi dalam memperkenalkan sistem pembiayaan mikro dalaman sebagai alternatif bantuan kewangan kepada komuniti.
"Matlamat kami adalah untuk menggalakkan koperasi melaksanakan bantuan kendiri dalam komuniti supaya hasilnya dapat kembali kepada mereka sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan," jelasnya.
Kajian tersebut akan melibatkan seramai 80 responden dan dijangka dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang potensi model koperasi dalam pembangunan keusahawanan luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial