KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Wartawan masa kini perlu mengimbangi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan pematuhan terhadap etika kewartawanan bagi memastikan laporan dihasilkan kekal berteraskan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penggunaan AI secara berlebihan tanpa pertimbangan etika boleh menjejaskan kualiti dan ketulenan sesuatu laporan berita.
“Kita tidak boleh menolak teknologi, malah ramai wartawan hari ini sudah pun menggunakan AI dalam kerja seharian contohnya daripada merakam audio menggunakan telefon bimbit sehinggalah kepada proses transkripsi, semuanya menjadi lebih mudah dan pantas.
“Namun, kita tidak mahu sekadar mengejar kepantasan maklumat lalu mengabaikan soal kesahihan dan nilai kemanusiaan. AI memang boleh membantu, tetapi elemen sentuhan manusia tetap tidak boleh diketepikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bernama Radio ‘Temu Bual Radio Edisi HAWANA 2025’ di Wisma Bernama, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang mengangkat tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”.
Mengulas contoh insiden kemalangan tragik yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik awal pagi semalam, Nur-ul Afida berkata laporan yang disampaikan dengan empati dan nilai kemanusiaan oleh wartawan mampu menyentuh hati masyarakat, berbeza dengan laporan yang dihasilkan sepenuhnya oleh ‘mesin’.
Menurutnya, jika laporan seumpama itu disampaikan sepenuhnya oleh robot atau sistem AI, elemen emosi pasti tidak terserlah, sedangkan peranan wartawan adalah untuk menjiwai cerita dan menyampaikannya dengan penuh empati, tanggungjawab serta sensitiviti.
“Gunakan AI untuk membantu tugasan, bukan menggantikan tugas kewartawanan sepenuhnya. Luangkan masa beberapa minit untuk menilai nada dan kandungan laporan agar bersesuaian dengan sensitiviti dan beretika, lebih-lebih lagi bagi laporan yang menyentuh emosi,” katanya.
Nur-ul Afida turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Jabatan Pengarang Bernama termasuk wartawan yang bertindak pantas di lokasi kejadian dan penyunting serta editor yang sama-sama berjaya menyampaikan emosi dan jiwa sebenar sesuatu peristiwa sambil berpegang kepada prinsip kewartawanan berintegriti.
Beliau juga memuji kecekapan pasukan jurufoto Bernama yang bukan sahaja merakam keadaan lokasi kemalangan, malah berjaya mengabadikan momen bermakna, termasuk ekspresi wajah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang jelas menggambarkan kesedihan mendalam ketika menyantuni ibu bapa mangsa.
“Gambar bukan sekadar rakaman visual, sebaliknya ia menceritakan segalanya. Ketika saya melihat gambar makanan bertaburan di tempat kejadian, sebagai seorang ibu saya amat tersentuh...makanan itu milik siapa? Ini antara fakta yang perlu kita kongsikan kepada masyarakat.
“Ibarat kita membayangkan anak-anak keluar untuk melaksanakan tugasan, namun di pertengahan jalan kita dimaklumkan mereka sudah tiada. Justeru, saya harus memuji kecekapan pasukan jurufoto Bernama yang begitu pantas bertindak. Inilah yang dimaksudkan dengan kepekaan lensa seorang jurufoto,” katanya dengan nada sebak.
Bernama, selaku agensi berita negara, melaporkan dengan penuh dedikasi insiden kemalangan maut membabitkan penuntut UPSI itu, yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi semalam, merangkumi pelbagai sudut liputan termasuk laporan berita, video dan fotografi.
Kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka hadir ke kemuncak sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bertujuan meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial