GERIK, 9 Jun (Bernama) -- “Saya hanya mampu lihat kawan-kawan meronta dan menjerit minta tolong… Ada yang tersepit dan ada yang terus senyap, tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” itu cerita yang dikongsi seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut melibatkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Aleeya Maisarah Azizzani, 21, berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga selepas terasa hentakan kuat disusuli dengan jeritan meminta tolong serta suara mengerang kesakitan daripada rakan-rakan yang menaiki bas itu.
Dalam cahaya berbalam-balam dan suasana kalut, dia cuba bangun untuk membantu rakan yang cedera, namun terpaksa membatalkan niat itu selepas berasa kesakitan pada bahagian belakang.
“Belakang saya sakit sangat… Saya cuba bangun, tapi memang tak boleh tolong orang lain. Saya hanya mampu selamatkan diri. Masa itu saya rasa bersalah sangat, tapi saya betul-betul tak mampu,” katanya dengan suara bergetar sambil menahan sebak ketika ditemui pemberita semasa hendak meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di sini.
Aleeya Maisarah berkata dia yang duduk di bahagian kanan bas hanya mampu menggagahkan diri untuk menyelamatkan nyawanya sendiri dan berjaya keluar melalui tingkap bas yang pecah.
Namun, keadaan lebih memilukan sebaik sahaja keluar dari bas yang remuk itu, apabila terpaksa berdepan pemandangan yang tidak mampu dilupakan ketika melihat tubuh rakan-rakan terbaring bergelimpangan, dengan ada antara mereka sudah tidak bernyawa.
“Saya nampak ada orang dalam longkang. Mula-mula saya ingat dia pengsan, tapi orang sebelah kata dia sudah meninggal dunia… Saya tengok sendiri, Allahu… Ramai yang dah tak ada,” katanya memejam mata seolah-olah cuba menghapuskan bayangan ngeri itu daripada ingatannya.
Aleeya Maisarah berkata sebelum kemalangan berlaku, dia dan beberapa rakan yang lain sudah mula rasa tidak sedap hati apabila terhidu bau hangit tayar terbakar selain bas itu dipandu laju.
“Saya mula bau hangit masa di Jerteh, tapi ada rakan cakap mereka turut menghidu bau yang sama di Tanah Merah. Kami cuma diam… Jadi saya pun tidur,” katanya.
Aleeya Maisarah berkata semasa melalui kawasan Jeli, dia terjaga apabila mengalami hentakan kuat dipercayai berpunca daripada melanggar lopak besar menyebabkan bas itu hampir terbalik ke sebelah kanan jalan.
“Masa itu bas macam nak jatuh… lepas itu, pemandu sempat bawa perlahan, tapi sekejap saja… kemudian dia pecut lagi,” katanya yang masih kelihatan dalam keadaan trauma selain turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki.
Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang disewa khas dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial