AM

Kemalangan Pelajar UPSI: Fahmi Ucap Takziah Kepada 15 Keluarga Mangsa

09/06/2025 09:48 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar yang telah meninggal dunia dalam kemalangan bas dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi ini.

Mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi, beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar yang pastinya turut memberi kesan perit kepada komuniti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya amat berdukacita menerima khabar tragedi kemalangan membabitkan pelajar-pelajar UPSI di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi.

“Bagi pihak seluruh warga Kementerian Komunikasi, saya merakamkan ucapan takziah amat mendalam kepada keluarga 15 pelajar yang telah meninggal dunia dalam insiden tersebut,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Beliau turut mendoakan agar roh semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

“Sama-sama juga kita doakan agar beberapa lagi yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan