AM

Seorang Lagi Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Makkah Selepas Sempurnakan Wukuf

08/06/2025 11:43 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 8 Jun (Bernama) -- Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci selepas menyempurnakan ibadah wukuf di Arafah, menjadikan jumlah kematian jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446H/2025M meningkat kepada sembilan orang, setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72, meninggal dunia di Hospital Mina Al Wadee pada 4.53 pagi waktu tempatan, akibat serangan jantung.

"Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah sebelum itu telah menerima rawatan akibat serangan jantung di Khemah Mina sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghubungi waris Allahyarham dan akan mengurus sepenuhnya segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah serta kebajikan jemaah yang terlibat.

Mohd Na’im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH turut merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga Allahyarham, serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan segala amal ibadahnya diterima Allah SWT.

Beliau turut memaklumkan TH akan terus memantau tahap kesihatan semua jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya ingin menasihati para jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala arahan petugas, serta tidak memaksa diri dalam melaksanakan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal seperti melontar jamrah, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang ekstrem,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan