AM

Buletin Mutiara: Platform Pelbagai Bahasa Di Persada Digital

08/06/2025 02:28 PM

Oleh R. Ratcharathan

GEORGE TOWN, 8 Jun (Bernama) -- Arus digitalisasi dan kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang melanda dunia turut mengubah landskap media negara, menyebabkan industri percetakan berdepan penyusutan jualan hingga memaksa sebahagian syarikat menamatkan operasi.

Namun di sebalik kemelut itu, Buletin Mutiara, media rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap kekal relevan dan kukuh dengan edaran mencecah 200,000 naskhah sebulan, hasil penerbitan dalam empat bahasa: Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil, bagi memenuhi keperluan pelbagai komuniti.

Ketua Editor Buletin Mutiara Yap Lee Ying, berkata naskhah fizikal masih memainkan peranan penting dalam proses penjenamaan, dan hakikatnya, ia mempunyai kelompok pembaca tersendiri walaupun dunia semakin mengorak langkah ke arah digital.

"Strategi ini berdasarkan hasil kajian semasa. Pendekatan kami adalah memastikan kandungan cetak dan dalam talian tampil berbeza, termasuk setiap versi bahasa yang diterbitkan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Mula diterbitkan secara cetak sejak Jun 2010, Buletin Mutiara kini berkembang dengan platform digital dan media sosial yang menyampaikan dasar, inisiatif serta maklumat terkini kerajaan negeri kepada rakyat pelbagai lapisan.

Yap yang juga Pengarah Komunikasi, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri berkata Buletin Mutiara bukan sekadar menampilkan laporan dasar kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan barisan kepimpinan, malah turut menyorot aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Bagi memastikan kandungannya mudah dicapai semua lapisan masyarakat, katanya, pemantauan dan kajian dilakukan secara berterusan, sama ada menerusi saluran cetak, digital mahupun media sosial.

"Menjadi dasar penerbitan kami untuk mengangkat berita lokaliti dan komuniti sebagai intipati utama kandungan. Ini membezakan kami daripada media arus perdana, dan saya percaya, itulah kelebihan utama Buletin Mutiara," katanya yang juga Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Mengulas cabaran dunia kewartawanan masa kini, Yap menegaskan pihaknya kekal berpegang kepada etika kewartawanan, dengan menitikberatkan kesahihan maklumat serta elemen kreativiti yang disesuaikan mengikut khalayak pelbagai bahasa.

"Kualiti penulisan memainkan peranan penting dalam mengekalkan etika kewartawanan selaras dengan house style kami. Fokus utama adalah untuk terus menjenamakan Pulau Pinang sejajar visi Penang2030 yang digariskan kerajaan negeri," katanya.

Bekas wartawan Utusan Malaysia itu turut berpandangan bahawa media arus perdana wajar menyesuaikan diri dengan perubahan pola pembacaan masyarakat yang kini lebih cenderung kepada laporan ringkas disertai visual menarik, memandangkan penulisan panjang tidak lagi menjadi pilihan utama.

Mengenai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada 29 Mei setiap tahun, beliau menyifatkan ia satu inisiatif tepat dalam menghargai peranan pengamal media di semua peringkat, khususnya di peringkat negeri.

"Saya percaya, usaha ini boleh diperluas dengan penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan, persatuan bekas wartawan dan jurugambar, serta pasukan media bertugas yang terlibat secara langsung dengan tugasan harian.

"Sebagai warga industri sama, kita perlu bersatu hati dan berganding bahu memastikan kewartawanan kekal relevan serta terus memainkan peranan penting seiring perkembangan teknologi," katanya.

Dengan tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 dijadual berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan