AM

GCC Tekan Kepentingan Kerjasama Dengan ASEAN, China Hadapi Cabaran Global 

27/05/2025 11:38 PM

Oleh Muhd Anwaruddin Abdul Wahab

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengakui kepentingan mengukuhkan kerjasama pelbagai hala dan menjalin perkongsian strategik antara ASEAN dan China, memandangkan situasi antarabangsa kini menghadapi cabaran ekonomi, ancaman alam sekitar dan keperluan mempercepatkan transformasi geopolitik.

Putera Mahkota Kuwait merangkap Presiden sesi semasa Majlis Tertinggi GCC Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata hubungan Majlis Kerjasama Teluk-China dan ASEAN telah menjadi model kerjasama yang berdaya maju dan berjaya berdasarkan perkongsian kepentingan dan kepakaran serta pembinaan rangka kerja institusi jangka panjang.

Baginda bertitah penganjuran sidang kemuncak GCC-China yang pertama di Riyadh pada tahun 2022 menjadi titik perubahan strategik yang mewujudkan perkongsian komprehensif bagi menangani isu ekonomi, teknologi, alam sekitar dan pembangunan.

Manakala Sidang Kemuncak GCC-ASEAN yang pertama di Riyadh pada tahun 2023 pula menjadi landasan yang berjaya untuk kerjasama dan integrasi antara kedua-dua pihak.

“Pada hari ini, Sidang Kemuncak GCC-ASEAN-China pertama yang diadakan di sini adalah evolusi semula jadi bagi inisiatif yang dimulakan di Riyadh dan telah membuka ufuk baharu untuk penyepaduan tiga pihak yang menghubungkan dua wilayah paling dinamik dan berkesan di dunia dalam ekonomi global, rantaian nilai dan pengeluaran,” titah baginda pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama kali diadakan di sini hari ini.

Baginda bertitah bahawa GCC sangat menghargai pelancaran Pelan Tindakan Bersama untuk Dialog Strategik dengan China bagi tempoh 2023-2027, dan percaya bahawa ia membentuk asas kukuh untuk mengeratkan jalinan kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi, pendidikan, kesihatan, kecerdasan buatan dan penyelidikan saintifik.

GCC juga menekankan kepentingan Rangka Kerja Kerjasama Strategik 2024-2028 antara GCC dan ASEAN sebagai landasan mewujudkan rangka kerja institusi untuk mengukuhkan perkongsian ini yang akhirnya telah mewujudkan landasan bersepadu tiga pihak antara GCC, ASEAN dan China, titah baginda.

Petunjuk ekonomi menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam saiz perdagangan GCC dengan ASEAN dan China.

Jumlah perdagangan antara GCC dan China kira-kira US$298 bilion pada 2023 manakala pelaburan langsung asing antara GCC dan China mencecah kira-kira US$19 bilion pada 2023.

Perdagangan dengan ASEAN pula melebihi US$122 bilion pada 2023, mencerminkan momentum sebenar dan perkongsian wajar diperluas dan dibangunkan.

“Dalam konteks ini, kami menekankan kepentingan memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan bebas antara GCC dan China dan mempergiatkan usaha untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan mengikut acuan nasional dan rantau kami,” titah baginda.

Baginda bertitah bahawa GCC juga menyeru penghapusan halangan yang mengehadkan aliran eksport antara GCC, ASEAN dan China bagi mempercepat integrasi pelaburan dan memudahkan akses pasaran antara ketiga-tiga pihak.

Baginda menekankan kepentingan Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China sebagai platform untuk meneroka peluang pelaburan, inovasi dan integrasi dalam bidang infrastruktur, tenaga hijau, ekonomi digital dan bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Putera Mahkota bertitah kedudukan strategik dan sumber GCC dalam ekonomi global memberi tanggungjawab bersama untuk membangunkan dasar bersepadu bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan air, menggalakkan kerjasama tenaga bersih, serta menyokong inovasi dan kemampanan, termasuk penjajaran dengan inisiatif Jalur dan Laluan serta visi pembangunan negara GCC.

Sidang kemuncak itu ialah inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China. Ia dihadiri pemimpin dari ASEAN, negara anggota GCC dan China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan