SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) -- Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi mencipta rekod Malaysia Books of Records (MBOR) dengan melafazkan Rukun Negara di puncak Gunung Kinabalu di Sabah, semalam.
Beliau yang mengetuai 39 pendaki dalam Ekspedisi Kinabalu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, diiktiraf sebagai bacaan Rukun Negara pada ketinggaan 4,095 meter dari aras laut.
Mohd Najwan berkata ekspedisi itu bukan sahaja bersempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak MBSA ke-25, malah merupakan simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68.
“Bermula pada hari Rabu, ekspedisi ini penuh cabaran termasuk memaksa peserta meredah laluan pendakian yang licin akibat hujan bermula dari Timpohon Gate pada pukul 10 pagi, sebelum meneruskan pendakian ke Panalaban dan tiba pada pukul 5 petang hari yang sama.
“Kira-kira pada 3 pagi keesokannya, kami meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu dan menyudahkan misi dengan melafazkan Rukun Negara di puncak tertinggi Malaysia dengan penuh bangga pada pukul 9 pagi," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Najwan berkata ekspedisi itu juga dilaksanakan sebagai misi “serampang dua mata”, dengan menggunakan kesempatan untuk mengibarkan bendera Tourism Selangor bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Ekspedisi Kinabalu MBSA merupakan satu acara pendakian gunung tertinggi Malaysia bermula dari 2 hingga 6 Sept, dengan disertai kakitangan MBSA (32), Tourism Selangor (4) dan Selangor FM (2).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial