AM

Sultan Pahang Sempurnakan Majlis Pecah Tanah Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah

04/09/2025 03:01 PM

PEKAN, 4 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 9.55 pagi disambut Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Projek perkampungan berkeluasan 3.88 hektar (9.6 ekar) yang terletak di hadapan Serambi Pekan di sini merupakan cetusan idea Tunku Azizah sejak 2017. 

Tunku Azizah yang juga pengasas dan pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja bertekad menyediakan perkampungan itu sebagai satu pusat sehenti bagi memanfaatkan kemahiran prospek ketika di dalam penjara dan dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Pada majlis yang diadakan sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang yang ke-66 itu, Tunku Azizah turut mempersembahkan taklimat berkaitan perlaksanaan projek perkampungan itu.  

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar projek yang memberi peluang kedua kepada bekas banduan tersebut dikendalikan sebaik mungkin. 

“Dengan ada program seperti ini sedikit sebanyak saya percaya beri satu jaminan kepada mereka bila keluar nanti sekurang-kurangan ada peluang untuk meneruskan kehidupan dalam bidang tenunan atau bidang lain sekali pun di projek ini nanti," titah baginda.

Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah akan membuka peluang kepada masyarakat dan bekas banduan untuk memanfaatkan serta meneruskan kemahiran kraftangan antaranya tenun. 

Lokasi berkenaan juga akan dilengkapkan penempatan selain pavilion, ruang niaga, pusat kraf, rumah kebun dan kafe serta restoran. 

Dalam pada itu, Sultan Pahang menzahirkan harapan supaya Temasya Warisan Pahang yang berlangsung di Pulau Keladi di sini juga diteruskan dari semasa ke semasa dengan penglibatan beberapa negeri antaranya Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka. 

Baginda juga bertitah supaya masyarakat Pekan lebih berdikari selain Serambi Pekan dihidupkan dan dijayakan semula. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan