AM

HAWANA 2025: Fokus Etika Dan AI Dalam Media

09/06/2025 09:39 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) --  Judul berita yang sensasi dan memancing perhatian atau clickbait semakin menjadi norma dalam dunia media sosial, namun timbul persoalan — berapa ramai sebenarnya membaca keseluruhan laporan dan bukan sekadar berhenti pada tajuk?”

Fenomena clickbait mungkin berkesan dari segi meraih perhatian pantas pengguna, namun ia menimbulkan kebimbangan serius terhadap etika kewartawanan dan tahap kepercayaan khalayak terhadap media.

Pensyarah Teknologi Media dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Siti Syamsul Nurin Mohmad Yazam menjelaskan bahawa dalam landskap media yang sangat kompetitif hari ini, penggunaan clickbait sukar dielakkan — namun ia perlu dikendalikan secara bertanggungjawab.

“Kita faham kenapa wartawan atau individu menggunakan tajuk yang menarik perhatian. Tujuannya untuk menarik pembaca agar mereka tertarik untuk membaca isi kandungan selanjutnya.

“Asalkan tajuk itu masih berkait dengan kandungan berita, ia boleh diterima. Tetapi masalah timbul apbila tajuk langsung tidak menggambarkan kandungan sebenar. Dalam kes begini, walaupun menarik perhatian, ramai sebenarnya tidak membaca pun keseluruhan laporan,,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kewartawanan clickbait lazimnya memanfaatkan tajuk yang dramatik, emosional atau penuh tanda tanya, menjanjikan kandungan sensasi semata-mata untuk meraih klik dan trafik — tanpa mengambil kira nilai atau ketepatan maklumat yang disampaikan.

Mengulas lanjut, Siti Syamsul Nurin menegaskan bahawa dalam era digital serba pantas hari ini, masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang berita.

“Sekarang ini, sesiapa pun boleh jadi penyebar maklumat. Tidak seperti dahulu, di mana hanya wartawan profesional memegang kuasa itu.

“Orang ramai perlu semak fakta terlebih dahulu sebelum berkongsi sebarang berita. Etika dan tanggungjawab sosial harus dijadikan asas, tidak kira sama ada anda wartawan, pencipta kandungan atau hanya orang awam,” katanya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat — khususnya generasi muda di media sosial — mengutamakan maklumat yang sahih serta bertanggungjawab terhadap impak kandungan yang disebarkan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi UUM Dr Azahar Kasim berkata konsep clickbait bukan merupakan ciri kewartawanan sejati kerana kewartawanan sebenar mengajar pengamal media untuk menghasilkan tajuk yang relevan dan selari dengan kandungan berita.

"Clickbait ini tidak baik kerana dalam kewartawanan sebenar, kita diajar untuk memberikan tajuk yang tepat dan sempurna. Namun hari ini, clickbait dijadikan tajuk semata-mata untuk menarik lebih ramai pembaca, sedangkan hakikatnya tajuk perlu berdasarkan perenggan pertama berita dan bukannya direka untuk menarik perhatian sahaja,” katanya.

Azahar berkata trend penggunaan tajuk clickbait mungkin sesuai bagi berita ringan atau bersifat santai,  namun bagi laporan yang bersifat serius, pendekatan tersebut tidak wajar diamalkan.

“Aspek etika merupakan perkara paling utama. Agensi berita seperti Bernama yang masih berpegang kepada prinsip kewartawanan sejati tidak mengamalkan clickbait ini. Begitu juga agensi antarabangsa seperti CNN dan CGTN dari China; mereka tetap mengekalkan integriti dalam penyampaian berita,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai perubahan yang ingin dilihat dalam landskap media semasa, Azahar menyeru agar pengamal media menerima kehadiran kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan berita, namun tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi tersebut.

Katanya teknologi bukan sesuatu yang sempurna secara keseluruhannya dan sebagai wartawan atau pengamal media, pelaporan secara langsung (first-hand reporting) tidak boleh digantikan hanya dengan kebergantungan kepada arus teknologi semata-mata.

Menyedari kepesatan perkembangan AI, termasuk dalam bidang kewartawanan, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini mengetengahkan tema "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika".

HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 13 hingga 15 Jun, dengan acara kemuncak pada 14 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lebih 1,000 pengamal media dari dalam serta luar negara dijangka hadir.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan