AM

PEMADAM Gesa Larangan Penuh Vape Putuskan Rantaian Dadah Sintetik

11/08/2025 03:44 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape termasuk penjualan secara dalam talian bagi memutuskan rantaian penularan dadah sintetik di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah drastik itu wajar kerana vape kini menjadi medium penyaluran bahan terlarang, termasuk dadah sintetik yang mudah diperoleh melalui pesanan dalam talian.

"Data daripada Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri cukup jelas menunjukkan bahawa jenayah yang berlaku dalam negara ini berpunca daripada dadah (termasuk) mencuri, membunuh dan merogol. Satu daripada rantaian (dadah) ialah vape. Jadi kita kena putuskan rantaian itu.

"Lebih membimbangkan masyarakat khususnya generasi muda melihat dadah sintetik yang dimasukkan ke dalam vape sebagai sesuatu yang tidak berbahaya dan ia mudah diperoleh," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Dwitahunan PEMADAM Kebangsaan ke-46 yang dihadiri lebih 1,000 ahli dari seluruh negara di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata lebih menyedihkan apabila data gabungan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi-agensi lain mendedahkan bahawa golongan berumur antara 15 hingga 39 tahun kini menjadi kumpulan sasaran utama sindiket dadah. 

"Yang membimbangkan adalah latar belakang mereka menunjukkan pola yang sama pada kebanyakan negeri, iaitu mereka yang mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya pendidikan menengah malah ada yang bergelar graduan diploma, sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD).

“Golongan ini adalah aset produktif negara yang sepatutnya memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih baik," katanya.

Shamsul Anuar berkata PEMADAM yakin langkah menyeluruh mengharamkan vape akan membantu usaha kerajaan dalam membanteras penggunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutama anak-anak muda.

Selain itu, Shamsul Anuar berkata PEMADAM akan mengambil pendekatan baharu dalam meningkatkan komunikasi dengan masyarakat tentang bahaya dadah menerusi digital serta berlandaskan data tepat supaya setiap program yang dilaksanakan lebih bersasar dan mencapai sasarannya, contohnya negeri dengan kadar penagihan tinggi memerlukan strategi berbeza.

"Kita tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah lama seperti ceramah umum kerana golongan sasaran tidak hadir mendengar. Sebaliknya, kita akan menggunakan media sosial, platform digital dan teknologi dengan melibatkan pempengaruh supaya maklumat itu benar-benar sampai dan lekat di hati masyarakat (khusus orang muda)," katanya.

Beliau berkata PEMADAM yang telah beroperasi lebih lima dekad perlu mengubah jenama dan strategi supaya menjadi badan pencegahan dadah yang dipercayai masyarakat, seiring dengan perubahan zaman agar peranannya lebih dikenali dan dilihat penting dalam usaha menjadikan agenda dadah sebagai musuh nombor satu negara.

PEMADAM perlu menjadi milik semua lapisan masyarakat serta menggerakkan agenda pencegahan dadah sebagai perjuangan nasional yang bersatu padu selain menjadi rakan strategik kepada agensi berkaitan seperti PDRM, AADK dan KKM.

Beliau berkata antara langkah itu, termasuk pindaan Perlembagaan, iaitu menambah jawatan Naib Presiden kepada dua individu bagi membawa masuk golongan profesional muda yang berupaya membantu.

Selain itu, langkah lain termasuk menukar nama rasmi daripada Majlis Antidadah PEMADAM Kebangsaan kepada Majlis PEMADAM Kebangsaan, Majlis PEMADAM Negeri dan Majlis PEMADAM Daerah supaya lebih relevan dengan situasi setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan