KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Keperluan menyemak semula kadar bantuan per kapita (PCG) yang tidak berubah sejak 2002 serta perkembangan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) meminta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada kementerian akan mengkaji semula PCG memandangkan kadar semasa tidak lagi mencukupi untuk menampung kos operasi dan program pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekolah khususnya di luar bandar pada sesi soal jawab lisan.
Pada sesi sama, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) bertanyakan Menteri Digital mengenai sumbangan NAIO kepada pembangunan AI dan bagaimana kementerian akan berkolaborasi dengan kementerian lain bagi memastikan koordinasi cross-sectoral yang berkesan dalam pembangunan dan aplikasi AI.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai rasional utama di sebalik keperluan menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Beliau juga ingin tahu bagaimana akta baharu tersebut akan menangani cabaran serta keperluan semasa gerakan koperasi di Malaysia.
Turut dibangkitkan, soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai status pelaksanaan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan Tempatan (MySTI) serta usaha meningkatkan visibiliti produk tempatan berlogo MySTI.
Selepas selesai soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bermula sejak Isnin lepas yang telah disertai 78 Ahli Parlimen.
RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, dengan pelaburan RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial